LIKAS, 10 MEI 2019 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah Universiti ke sembilan yang menjadi destinasi sejak Program Food Bank Siswa ini dilancarkan.
Bermula di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras, Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pelancaran Food Bank Siswa di UMS ini mempunyai kisah tersendiri kerana selain dilancarkan pada bulan Ramadan, ia berjaya menggabungkan tenaga tiga pihak yang penting di universiti berkenaan iaitu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dan sukarelawan pelajar.
UMS mempunyai pantri makanan (food pantry) dan dapur berpusat (central kitchen) yang dapat menjadikan program ini dilaksanakan dengan lebih sistematik.
Insiatif Food Bank Siswa yang berkonsepkan “ Dari Pelajar Untuk Pelajar (From the Students to the Students) di mana penglibatan pelajar dalam melaksanakan Food Bank Siswa ini terutamanya dari persatuan-persatuan pelajar untuk sama-sama membantu golongan pelajar yang memerlukan.
Ini adalah kerana, kerajaan ingin memastikan pelajar sebagai pelapis negara dapat menimba lebih banyak pengalaman dalam pelaksanaan program kebajikan seperti ini. Ia juga sebagai peluang bagi memupuk semangat sukarelawan di samping dapat bergiat aktif dalam aktiviti yang dijalankan di Universiti. Rakan Strategik Utama bagi Program Food Bank Siswa peringkat UMS ini ialah Food Aid Foundation.
Dalam ucapan pelancarannya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata , tiga kelebihan yang dapat dihasilkan dengan penglibatan pelajar-pelajar ini iaitu membentuk semangat kesukarelawan, dapat membantu rakan-rakan yang memerlukan disamping belajar untuk menjadi seorang pemimpin yang mempunyai pengalaman menguruskan perjalanan Food Bank Siswa di universiti ini.
Terdapat seramai 433 orang pelajar dari UMS dikenalpasti dan layak menerima bantuan daripada program ini. Penyumbangan bagi program ini ialah Giant, CKS dan Adabi yang terlibat sebagai penyumbang bagi program ini.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP