Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PENIAGA DIINGATKAN SUPAYA TIDAK MENJUAL BARANGAN YANG DIKAWAL MELEBIHI HARGA YANG TELAH DITETAPKAN KERAJAAN

PUTRAJAYA, 1 Oktober 2021 – Susulan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada tempoh hari, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus komited bersama Kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup rakyat melalui aspek kesamarataan bagi membolehkan setiap golongan menikmati taraf hidup yang wajar, meningkatkan kuasa beli rakyat dan melonjakkan pendapatan golongan rentan. 

Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah memilih beberapa barang keperluan untuk dijadikan barangan yang dikawal dan menetapkan harga jualannya di mana sahaja ianya dijual termasuk di kedai runcit, mini-market, pasar, pasaraya dan pasar atas talian di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. Ini adalah untuk memastikan rakyat dapat menikmati barang keperluan tersebut pada harga terkawal dan sekali gus tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Menurut Tuan Azman bin Adam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, antara harga barangan yang dikawal oleh Kerajaan adalah gula pasir putih bertapis kasar dan halus, tepung gandum serbaguna, minyak masak, gas petroleum cecair, pelitup muka dan kit ujian pantas antigen COVID 19 (ujian sendiri). Berikut merupakan senarai harga barangan yang dikawal oleh Kerajaan mengikut jenis dan kuantiti untuk rujukan pengguna dan peniaga :

BARANGAN

JENIS

HARGA KAWALAN 

Gula Pasir Putih

Bertapis kasar/KG

RM 2.85

Bertapis halus/KG

RM 2.95

Gas Petroleum Cecair

(LPG)

Tong kapasiti 10KG

RM 19.00

Tong kapasiti 12KG

RM 22.80

Tong kapsiti 14KG

RM 26.60

Pelitup Muka

(pembedahan/perubatan)

1 lapisan (gelung telinga)

RM 0.07

2 lapisan (gelung telinga)

RM 0.20

3 lapisan (gelung telinga)

RM 0.70

N 95

RM 6.00

Minyak Masak 

Paket 1kg

RM 2.50

Tepunga Gandum

Serbaguna

1kg

RM 1.35

Minyak Masak Sawit

Tulen Yang Dibungkus

Dalam Botol

Botol 1KG

RM 6.70

Botol 2KG

RM 12.70

Botol 3KG

RM 18.70

Botol 5KG

RM 29.70

Kit Ujian Pantas Antigen

COVID 19 (Ujian Sendiri)

1 unit peringkat borong

RM 16.00

1 unit peringkat runcit

RM 19.90

Kementerian berharap kepada semua peniaga di semua premis perniagaan termasuk perniagaan atas talian supaya mengikuti semua garis panduan dan syarat termasuk menjual pada harga yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Diingatkan juga bahawa harga yang telah ditetapkan bagi barangan dikawal itu tidak termasuk caj penghantaran.

Tuan Azman turut menegaskan bahawa Penguat Kuasa KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang melanggari garis panduan dan syarat serta harga. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan ini akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:

  • Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
  • Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Akhir sekali, pihak Kementerian mengingatkan pengguna agar tidak membeli barangan yang dikawal  dari premis atau platform atas talian yang dijual melebihi harga yang telah ditetapkan Kerajaan dan meminta pengguna untuk melaporkan kepada KPDNHEP dengan memberi maklumat lengkap barang tersebut dengan tanda harga beserta lokasi premis/platform  melalui saluran-saluran rasmi KPDNHEP.


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive