KUALA LUMPUR, 24 APRIL 2021 - Program advokasi pengguna dan shopping street anjuran Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini mengadaptasi elemen norma baharu dalam sektor peruncitan dan merupakan kesinambungan daripada Program Jualan Malaysia (PJM) bagi Tahun 2021 yang telah dilancarkan di Pusat Membeli Belah Jakel pada 9 April yang lepas.
Program Advokasi Pengguna Bijak dan Pelancaran #ShoppingStreetJalanTAR bertempat di Pasar Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR) Kuala Lumpur. Program ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid.
Selain itu, program advokasi ini berfokus dalam menyalurkan maklumat dan peringatan terhadap pematuhan SOP, di samping memberi kesedaran berkaitan hak pengguna dan isu-isu kepenggunaan melalui pendekatan yang lebih santai kepada komuniti pengguna dan peniaga di sekitar kawasan tersebut.
Selaras dengan tema Sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia 2021 iaitu “Menangani Pencemaran Plastik”, Kementerian ingin menggiatkan lagi penyebaran kesedaran dan pembudayaan Kempen Bebas Plastik.
Dalam sidang medianya, Dato’ Rosol berkata, KPDNHEP akan meneruskan pemeriksaan ke atas semua premis untuk memastikan mereka menjalankan urus niaga dengan jujur dan tidak mencari keuntungan yang tidak munasabah dengan melakukan pencatutan serta sebagainya. Katanya, KPDNHEP turut akan mempertingkatkan pemeriksaaan ke atas penjualan barangan tiruan terutama di musim perayaan ini.
Jalan TAR dipilih sebagai lokasi shopping street di peringkat WP Kuala Lumpur kerana lokasi pasar di kawasan tersebut yang menjadi tumpuan kebanyakan warga kota untuk mendapatkan juadah berbuka puasa, di samping aktiviti penjualan pakaian dan aksesori fesyen yang meriah terutamanya menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri secara khususnya, dan pelbagai aktiviti perniagaan lain yang rancak sepanjang tahun secara umumnya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP