PUTRAJAYA, 22 APRIL 2021 - Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui program turun padang bagi melakukan pemantauan secara harian pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa di seluruh Negara untuk memastikan pematuhannya oleh peniaga.
Sejak pelaksanaan skim ini mulai 21 April 2021, sejumlah 2,073 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh Negara, merangkumi 52 premis (borong) dan 2,021 premis (peruncit).
Bercakap kepada media selepas melakukan tinjauan di MyFarm Outlet Putrajaya, Presint 7 dekat sini hari ini, Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pada hari pertama kebanyakan peniaga didapati mematuhi pelaksanaan skim ini walaupun terdapat dua aduan yang diterima pihak penguat kuasa tentang peniaga yang tidak mematuhi arahan ini.
Aktiviti turun padang ini juga memberi mesej kepada rakyat tentang komitmen dan keprihatinan Kerajaan dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.
Namun katanya, KPDNHEP mengambil pendekatan berhemah dengan memberikan nasihat dan peringatan kepada peniaga supaya mematuhi pelaksanaan SHMMP sepanjang tempoh yang ditetapkan sebelum mengambil sebarang tindakan sekiranya masih ada lagi peniaga yang secara sengaja melanggar arahan ini.
Menurutnya lagi, pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 ini adalah secara berfasa iaitu fasa pertama melibatkan 12 jenis barang. Sekiranya perlu, Kerajaan akan melaksanakan SHMMP HRP fasa kedua yang melibatkan pertambahan barang.
Beliau meningatkan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.
“Berdasarkan pemantauan dan maklum balas orang ramai, pelaksanaan Skim ini telah berjalan dengan baik. Kementerian akan terus membuat penyebaran secara meluas bagi memberi kefahaman dan kesedaran awam mengenai pelaksanaan Skim ini,” tambahnya.
Untuk rekod, pelaksanaan SHMMP HRP 2021 dilaksanakan selama 30 hari (selama 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 7 hari selepas hari perayaan) iaitu bermula pada 21 April sehingga 20 Mei 2021. Pelaksanaan adalah demi melindungi pengguna daripada perlakuan segelintir peniaga yang tidak beretika menaikkan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang perayaan HRP yang akan disambut pada 13 Mei 2021 di seluruh Negara.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP