MELAKA, 3 APRIL 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan keselamatan barangan yang hendak dibeli, terutamanya bagi barangan yang berisiko tinggi seperti kelengkapan elektrik dan elektronik.
Berucap pada Program Advokasi Standard Keselamatan Barangan Pengguna Anjuran Bahagian Standard Kepenggunaan KPDNHEP di sini, Timbalan Menterinya, Dato’ Haji Rosol Wahid berkata, isu-isu keselamatan barangan pengguna terutamanya bagi barangan yang berisiko tinggi merupakan agenda penting yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Tambahan pula dengan keadaan semasa negara yang dibanjiri dengan lambakan pelbagai barangan daripada luar negara. Walaupun fenomena ini dilihat memberi faedah kepada pengguna daripada segi kepelbagaian pilihan dan harga yang ditawarkan, namun demikian bukan semua barangan yang memasuki pasaran Malaysia ini mempunyai standard keselamatan dan kualiti sebagaimana yang diharapkan oleh pengguna.
Lambakan barangan sub-standard yang diragui tahap keselamatannya merupakan satu ancaman yang membimbangkan terhadap para pengguna di negara kita yang tidak berupaya untuk membuat pilihan yang baik disebabkan batas pengetahuan yang dimiliki oleh mereka.
Akibatnya pengguna seringkali tertipu dalam pembelian barangan yang disangka mempunyai standard keselamatan dan kualiti yang tinggi.
Sehubungan itu, adalah penting bagi pengguna untuk membuat pilihan yang bijak.
Beliau berkata, sebagai Kementerian yang komited dalam usaha menjaga kepentingan pengguna, KPDNHEP sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan perlindungan pengguna khususnya dalam aspek keselamatan barangan pengguna.
Salah satu peranan dan tanggungjawab KPDNHEP adalah untuk mengkaji, merangka dan membangunkan perundangan berhubung standard keselamatan barangan pengguna selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011 bagi memastikan perlindungan pengguna yang menyeluruh mengikut keutamaan dan keperluan semasa. Peranan ini dimainkan oleh Bahagian Standard Kepenggunaan.
Selain itu, KPDNHEP juga bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan barangan dan budaya standard di kalangan pengguna.
Sehubungan itu, tujuan utama program advokasi ini diadakan adalah untuk meningkatkan dan memantapkan kefahaman dan kesedaran peserta berhubung peraturan standard keselamatan barangan di bawah bidang kuasa KPDNHEP.
Matlamat utama program ini diadakan adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pendayaupayaan pengguna supaya dapat memilih barang yang selamat dan mengurangkan risiko terhadap kejadian kecederaan atau kemalangan.
Langkah ini juga adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan pembelian barangan yang selamat dan berkualiti oleh pengguna.
Kesedaran pengguna merupakan aspek penting bagi memastikan pengguna mampu membuat pilihan dengan bijak dalam pembelian barangan supaya ianya tidak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna.
Kita sebagai pengguna tidak harus mudah terpengaruh dengan tawaran barangan pada harga yang terlalu murah kerana dikhuatiri tiada jaminan daripada aspek keselamatan dan kualitinya.
Perasmian program ini turut dihadiri YBhg. Datuk Wira Ar. Ismail Othman
Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka; YBrs. Dr Alauddin Sidal, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri); Tuan Azman bin Adam, Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP; Encik Rahmat bin Wadio
Pengarah Bahagian Standard Kepenggunaan KPDNHEP dan Puan Norena binti Jaafar, Pengarah KPDNHEP Melaka.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP