PETALING JAYA, 1 APRIL 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan peniaga supaya tidak menganiaya pelanggan dengan helah dan penipuan dalam urusan jual beli kenderaan.
Timbalan Menterinya, Dato’ Haji Rosol Wahid berkata, di bawah Akta Sewa Beli 1967, peniaga hanya dibenarkan untuk menawarkan kemudahan zero downpayment ini bagi pembelian motosikal menerusi kaedah jualan kredit.
Berucap di Majlis Perasmian Bilik Pameran NWP Access di sini hari ini, Dato’ Haji Rosol berkata, bagaimanapun, jika jualan dan pembelian motosikal dibuat melalui kaedah Perjanjian Sewa Beli (HPA), maka zero downpayment tidak boleh ditawarkan kepada pelanggan. Jika ada syarikat yang menyalahi undang-undang ini maka mereka akan dikenakan tindakan tegas.
“Saya pasti ramai di kalangan kita yang masih tidak begitu jelas mengenai perkara ini dan saya harap bagi anda yang ingin membeli motosikal, pastikan dahulu jenis pembiayaan yang ditawarkan sama ada menerusi jualan kredit atau HPA, supaya ia tidak akan menyukarkan anda di kemudian hari,” tegasnya.
Menurut Dato’ Haji Rosol lagi, Kerajaan Malaysia amat komited untuk menyokong baikpulih ekonomi industri serta negara melalui program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang bernilai RM20 bilion, serta suntikan fiskal baharu berjumlah RM11 bilion, yang baru dilancarkan.
Di bawah PEMERKASA, Skim Pembiayaan TEKUN Mobilepreneur 3.0 diperluas untuk merangkumi pembiayaan baik pulih atau membeli motosikal baharu dengan had sehingga RM10, 000. Bagi melengkapkan inisiatif ini, motosikal pemasangan tempatan dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah akan diberi pengecualian 100 peratus duti eksais mulai 1 April hingga 31 Disember 2021. Skim Pembiayaan TEKUN Mobilepreneur 3.0 merupakan kesinambungan Program TEKUN Mobilepreneur 1.0 dan 2.0 yang telah dilaksanakan sejak bulan April 2020 untuk memberi peluang golongan yang hilang punca pendapatan akibat penularan COVID-19.
Beliau mengingatkan bahawa usaha memulihkan ekonomi negara hanya akan dapat dilakukan dengan sempurna menerusi kerjasama berterusan antara kerajaan, komuniti perniagaan dan juga pengguna.
“Dalam kita menghadapi cabaran ekonomi norma baharu ini, KPDNHEP juga menggalakkan penggunaan transaksi digital dan elektronik dalam perjanjian sewa beli dan jualan kredit yang dapat memudahkan pembeli motosikal atau kenderaan bermotor serta syarikat penjual kenderaan. Langkah ini amat digalakkan ke arah mendidik komuniti peniaga dan masyarakat pengguna ke arah urus niaga digitalisasi,” katanya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP