PUTRAJAYA, 10 JANUARI 2021 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum mengenai situasi pembelian panik yang dikatakan berlaku di beberapa kawasan di negara ini.
Ini mungkin berikutan pengumuman khas yang akan dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijadualkan Isnin, mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19, yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.
Situasi pembelian panik ini tidak sepatutnya berlaku kerana hasil pemantauan anggota Penguat Kuasa KPDNHEP mendapati bekalan barangan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi.
Menerusi kenyataan medianya hari ini, Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, hasil pemantauan setiap hari yang dijalankan juga mendapati semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa. Ini telah menyumbang kepada kestabilan dan keberadaan barangan keperluan di dalam pasaran.
“Keadaan ini berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac 2020 di mana kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Kementerian sentiasa memantau secara harian keberadaan barangan keperluan pengguna di seluruh negara bagi memastikan barangan-barangan ini sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi di pasaran, sekaligus mampu menampung keperluan pengguna secara berterusan.
“Antara barangan yang dipantau termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka,” tambahnya.
Pemantauan 12 barang keperluan ini membabitkan 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR), 1,039 Pemborong Terpilih Daerah (DDW), 223 Pengilang Terpilih Daerah (DDM) yang merangkumi 222 Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa situasi bekalan barangan di dalam pasaran adalah terkawal dan rakyat dinasihatkan untuk mengelakkan melakukan pembelian panik kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran.”
“Kesemua anggota Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh negeri juga akan terus giat melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan terus terjamin buat semua pengguna,” ujarnya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP