Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

RESTORAN MAKANAN SEGERA MARRYBROWN SERTAI INISIATIF MENU RAHMAH

restoran-makanan-segera-marrybrown-sertai-inisiatif-menu-rahmah.jpgJOHOR BAHRU, 25 FEBRUARI 2023, SABTU– YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini telah menghadiri dan merasmikan Menu RAHMAH di Restoran Marrybrown Paradigm Mall, Johor Bahru.

Seperti sedia maklum, Menu RAHMAH adalah inisiatif terbaru Kerajaan dalam membantu dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan yang memerlukan untuk mendapatkan makanan bermasak yang seimbang pada harga RM5.00 dan ke bawah.

Inisiatif Menu Rahmah terus mendapat sambutan daripada para pengusaha premis makanan dan syarikat-syarikat swasta semenjak ianya dilancarkan pada 31 Januari 2023 dan pada hari ini, restoran Marrybrown yang merupakan antara rangkaian Restoran Perkhidmatan Pantas atau QSR (Quick Service And Fast Casual) utama di Malaysia telah menjadi restoran makanan segera halal tempatan pertama yang telah melancarkan “Menu RAHMAH” di negara ini.

Menu RAHMAH ini ditawarkan dengan pilihan dua jenis hidangan iaitu Menu RAHMAH Burger Ayam atau Menu RAHMAH Nasi Kari dan disertakan dengan sebotol air minuman dengan harga RM 5.00 bagi satu set menu. Hidangan tersebut boleh dibeli bermula pada jam 12 tengah hari hingga 2 petang dan 6 petang hingga 8 malam setiap hari di 262 cawangan Marrybrown seluruh negara kecuali di semua cawangan Marrybrown di lapangan terbang dan juga taman tema Genting.

Pada hari ini, YB Menteri PDN turut menyerahkan sumbangan Bakul RAHMAH kepada sepuluh (10) keluarga dari golongan B40. YB Menteri juga berkesempatan menyerahkan sumbangan pek “Kembali ke Sekolah” kepada 30 orang anak-anak dari keluarga B40. Seterusnya, pada hari ini juga pihak Marrybrown telah menyerahkan sebanyak 2,000 unit baucar makanan kepada Encik Mohamad bin Hapil, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKM).

Oleh : Unit Komunikasi Korporat

 


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive