PENGKALAN KUBOR, 20 MAC 2017 – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Sri Jamil Salleh hari ini mengambil peluang meninjau di Sungai Golok menaiki bot Polis Marin dari sini sebelum berpatah balik di Jeram Perdah, Dearah Pasir Mas.
Perjalanan sejauh kira-kira 30 kilometer itu disertai tiga bot peronda Polis Marin Malaysia dan sebuah bot Polis Marin Thailand. Tinjauan ini turut disertai pegawai-pegawai kanan Polis Marin Bukit Aman, Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Kuantan, Pegawai Polis Marin Tatbai, Thailand dan pegawai-pegawai KPDNKK.
Dalam tinjauan ini, bot peronda Polis Marin terserempak dengan dua bot kayu dari negara jiran yang cuba menyeludup masuk barangan yang disyaki beras sebelum mereka mengambil keputusan berpatah balik ke perairan negara mereka untuk mengelak dari di tahan penguatkuasa negara ini.
Ahli rombongan kemudian di bawa melawat sebuah tugu yang dijadikan penanda di Jeram Perdah itu bagi mengukur jarak lebar sungai yang memisahkan kedua-dua negara sebagai sempadan.
Sungai Golok yang dikatakan mempunyai jarak kira-kira 150 kilometer dari Pengakalan Kubor ke Jeli mempunyai 122 pangkalan haram yang menjadi pintu keluar masuk di antara kedua-dua negara itu.