PUTRAJAYA, 18 MEI 2017 – Kerajaan sentiasa komited untuk membantu menyelesai serta menangani isu-isu kemiskinan masyarakat bandar secara holistik melalui pendekatan-pendekatan serta strategi-strategi yang berkesan.
Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Menangani Kemiskinan Bandar Bilangan 1 / 2017 yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini dipengerusikan TImbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan dihadiri beberapa Menteri Kabinet, pengurusan tertinggi serta pegawai-pegawai kanan kementerian-kementerian yang terlibat.
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, kenaikan yang membabitkan kos harga makanan,perumahan dan pengangkutan itu sangat membelenggu rakyat terutamanya golongan miskin bandar. Katanya, beberapa perkara sedang dikaji bagi melihat punca yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar khususnya.
“Mesyuarat ini sebagai menifestasi terhadap usaha-usaha kerajaan yang sepakat dan komited dalam membantu rakyat. Beberapa cadangan dipersetujui seperti mewujudkan satu jawatankuasa bersama antara kementerian untuk mengkaji kos pengeluaran dan kos di sepanjang rantaian pengedaran bagi mengelak manipulasi harga oleh orang tengah,” ujarnya.
Di antara perkara yang dipersetujui bersama ialah mengkaji cadangan pelaksanaan program bantuan makanan kepada golongan miskin bandar di antara kementerian melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) serta syarikat hypermarket dalam menyediakan makanan sejuk beku.
Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid juga memaklumkan bahawa pendekatan yang sama akan dikembangkan ke universiti awam dan swasta melalui program makanan bermasak yang dijual pada harga berpatutan kepada pelajar khususnya di bandar-bandar besar serta melaksanakan program pembangunan usahawan.
Kerajaan juga akan memperkenalkan program-program termasuk program keusahawan, meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam pada kadar munasabah, bantuan pengurusan kewangan, latihan kemahiran dan program mentoring.
Pusat sehenti di kawasan komuniti miskin bandar akan diwujudkan sebagai pusat rujukan kepada pelbagai agensi bagi membantu golongan berkenaan serta mengumpul maklumat mengenai bilangan pemilikan dan penyewaan rumah.
Mesyuarat juga mengambil ketetapan dengan cadangan untuk pemberian insentif kepada pemaju dan membina rumah mampu milik menggunakan teknologi terkini seperti Sistem Bangunan Berindustri (IBS) bagi menguranglan kos pembinaan rumah.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK