Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

imagePUTRAJAYA, 4 DISEMBER 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan Karnival Barangan Malaysia 2023 dengan penglibatan lebih 100 pempamer merangkumi pelbagai produk, dari seni tradisional hingga ke inovasi moden dimana pengunjung berpeluang meneroka dan melihat kepelbagaian produk tempatan buatan Malaysia disamping menyokong perniagaan produk buatan tempatan serta berbangga dengan warisan negara.
Karnival Barangan Malaysia 2023 kini dibawakan khas kepada seluruh warga Putrajaya dan kawasan sekitar yang akan berlangsung bermula 13 Disember 2023 sehingga 17 Disember 2023 bertempat di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, IOI City Mall, Putrajaya. Karnival Barangan Malaysia 2023 ini merupakan acara tahunan yang akan menjadi satu platform penting kepada peniaga untuk mempamerkan kepelbagaian produk mereka, mengembangkan jalinan, dan berkolaborasi dengan rakan-rakan strategik yang berpotensi, dan seterusnya mengetengahkan produk mereka kepada rakyat Malaysia.
Melalui penganjuran Karnival Barangan Malaysia 2023 ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited dalam memperkukuhkan penjenamaan dan promosi produk Malaysia, serta memantapkan kedudukannya sebagai satu kuasa di pasaran antarabangsa melalui Karnival Barangan Malaysia 2023. Pelbagai inisiatif strategik telah dirancang oleh Kerajaan melalui KPDN untuk membantu perniagaan dan industri tempatan mencapai kejayaan baharu sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
KBM 2023 yang bakal berlangsung selama lima hari bertujuan untuk mempamerkan dan meraikan kepelbagaian, kualiti, dan inovasi produk Malaysia. Antara objektif utama yang ingin disampaikan oleh KPDN adalah produk tempatan Malaysia bukan sahaja mempunyai kualiti bertaraf dunia, tetapi juga mempunyai potensi besar untuk dipasarkan ke luar negara. Melalui peningkatkan pengiktirafan dan penjenamaan di peringkat global, produk Malaysia dapat menjadi duta bagi budaya dan warisan negara. Barang baik, barang kita!

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


imageKUANTAN, 2 DISEMBER 2023 – YB Senator Puan Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah melakukan sesi walkabout di Karnival Jualan RAHMAH Negeri Pahang yang diadakan selama dua hari bermula 2 sehingga 3 Disember 2023 di Dataran Sayangi Kuantan, bersebelahan Majlis Bandaraya Kuantan, Pahang Darul Makmur.

Karnival Jualan RAHMAH Negeri Pahang Tahun 2023 yang diadakan di Dataran Sayangi Kuantan diadakan dengan kerjasama strategik bersama Pasar Raya AEON Big Kuantan, Pasar Raya Jaya Gading, FAMA Pahang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, yang menawarkan sehingga 60 item barang keperluan harian yang terdiri daripada barangan kering dan basah yang ditawarkan dengan harga 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Sehingga 2 Disember 2023, KPDN Negeri Pahang telah melaksanakan Program Jualan RAHMAH di sebanyak 376 lokasi melibatkan 14 parlimen dan 42 DUN di Negeri Pahang.

YB Senator Puan Hajah Fuziah Salleh turut mengadakan lawatan kerja ke syarikat pemborong Golden HP Agency di Bandar Indera Mahkota untuk melihat kesiap siagaan syarikat pemborong yang merupakan Pemegang Stok Mini Terpilih yang telah dilantik oleh KPDN bagi memastikan bekalan barang kawalan dan barangan keperluan pengguna sentiasa mencukupi dalam menghadapi musim tengkujuh.

Untuk makluman, mereka telah diberi kebenaran untuk menambah had simpanan barang kawalan sebanyak lebih 30% dari had simpanan sedia ada yang dibenarkan di dalam lesen CSA sehingga berakhirnya musim tengkujuh.

Turut hadir sama, YBrs. Puan Jezlily binti Jamaluddin-Pengarah KPDN Negeri Pahang, YBrs Encik Muhamad Hanif Bin Asa’ari-Pengarah Sekretariat Perdagangan Pengedaran & Industri Perkhidmatan (SPIP) KPDN serta Pegawai Kanan Kementerian.

 

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


imageCHERAS, 1 DISEMBER 2023 – AEON Cheras Selatan kini berwajah baru selepas melalui proses naik taraf dan pengubahsuaian dimana kini Pelanggan yang berkunjung berpeluang menikmati pelbagai kemudahan dan pengalaman membeli belah yang baharu termasuk kaunter pembayaran layan diri (self-check-out counter).

Majlis Perasmian Pembukaan Semula Pusat Membeli-Belah Aeon Cheras Selatan telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Seri Mohd Sayuthi bin Bakar, Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bertempat di Ruang Legar Utama, AEON Cheras Selatan, Selangor.

Sempena Majlis Pembukaan ini, AEON telah mengambil langkah proaktif dengan mengunci harga bagi 250 barangan keperluan terpilih untuk tempoh 3 bulan sebagai inisiatif AEON menyahut seruan kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia menangani kos sara hidup.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Kempen "Everyday Fresh Everyday Low Price", yang dilancarkan awal tahun ini. Barangan keperluan yang dikenal pasti antaranya ialah syampu, pelembut fabrik, sabun basuh, minyak masak, mi, susu dan lain-lain barangan keperluan asas.

Turut hadir bersama, YBrs Encik Keiji Ono-Pengarah Urusan, AEON CO. (M) BHD, YBhg. Dato’ Rohaizi bin Bahari-Pengarah Kanan, Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN, YBrs Tuan Zuhairi Mat Radey-Pengarah KPDN Selangor serta Pegawai Kanan Kementerian.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


imagePORT DICKSON, 22 NOVEMBER 2023 – YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi bin Bakar-Ketua Setiausaha KPDN pada hari ini turun padang bagi pelupusan barang rampasan bernilai RM38.53 juta melibatkan pelbagai kesalahan di seluruh Negara pada tahun ini yang diadakan di Cenviro Sdn Bhd, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Untuk makluman hari ini, objektif Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana 2023 pada hari ini adalah bagi pelupusan barang rampasan berkaitan dakwat mesin pencetak di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 730) yang bernilai RM2.9 juta membabitkan 9 kes secara keseluruhan.

Bagi memastikan proses pelupusan barang rampasan ini dilaksanakan dengan teliti, teratur dan selamat, Bahagian Penguat Kuasa KPDN telah melantik Pusat Pengurusan Sisa Buangan Terjadual Bersepadu Kualiti Alam yang mempunyai pengalaman dan kepakaran melebihi 30 tahun dalam pengurusan sisa buanagan terjadual bersepadu. Kesemua barang rampasan akan dilupuskan di loji “Schedule Waste to Energy” menggunakan teknologi insinerator yang mana proses tersebut akan menjana tenaga elektrik untuk disalurkan kepada Grid Nasional.

Sehingga Oktober 2023, nilai keseluruhan pelupusan barang kes yang dihasilkan adalah berjumlah RM38.53 juta. KPDN melalui tindakan penguatkuasaan telah mengutip sebanyak RM49.04 juta dalam tempoh Januari - Oktober 2023 dan dijadikan hasil kerajaan.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive