Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

imagePutrajaya, 1 November. YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Pemangku Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini telah meluangkan masa turun padang untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga barang di premis-premis di sekitar Putrajaya pada 1 November 2023.

Tujuan pemeriksaan dan pemantauan ini dilaksanakan bagi meninjau situasi semasa yang berlaku di lapangan berhubung penjualan ayam susulan penamatan subsidi dan kawalan ke atas harga ayam bermula hari ini iaitu 1 November 2023 seperti yang telah diumumkan oleh YB Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan pada 30 Oktober 2023.

KPDN telah menggerakkan 2268 anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] bagi memantau situasi harga ayam yang diapungkan mengikut harga pasaran semasa dan memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

Pada masa yang sama, KPDN komited dalam menjalankan pemantauan harga barang yang dilaksanakan oleh lebih daripada 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN setiap hari melibatkan hampir 1,500 premis meliputi Pasar Basah, Hypermarket dan Supermarket, Pasar Mini dan Kedai Runcit di seluruh Malaysia.

KPDN juga ingin memberikan amaran keras kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang berkuat kuasa dengan mempamerkan tanda harga dengan jelas dan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh pihak KPDN.

Turut hadir sama, YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi bin Bakar-Ketua Setiausaha KPDN, YBhg. Datuk Azman bin Adam-Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN serta Pegawai Kanan Kementerian.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


imageSerdang, 31 Oktober. YBhg. Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar, Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkenan untuk hadir dan menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Festival Teater Pengguna Siswa Universiti Awam (MAKUM) yang telah berlangsung pada 31 Oktober 2023 bertempat di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Festival Teater Pengguna Siswa Universiti Awam merupakan medium penyampaian mesej berkonsepkan persembahan teater kepada kalangan pelajar IPTA seluruh Malaysia dan penganjurannya buat kali kedua bermula 22 sehingga 31 Oktober 2023 dengan kerjasama KPDN, MAKUM dan Pusat Kebudayaan dan Kesenian, UPM. Penganjuran festival pada kali ini mendapat penyertaan sebanyak 17 buah universiti awam dari seluruh Malaysia serta seramai 340 siswa dan siswi.

Festival yang bertemakan Pengguna Bijak & Kos Sara Hidup pada kali ini diserikan dengan persembahan teater yang cukup hebat dan menarik daripada para pelajar IPTA yang mengambil bahagian pada Festival Teater kali ini.

Turut mengiringi YBhg. Dato’ Seri KSU KPDN adalah YBrs. En. Mohd Zuhairi Mat Radey, Pengarah KPDN Selangor dan YBrs Professor Dr Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (HEPA) UPM merangkap Pengerusi MAKUM.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


INISIATIF KERJASAMA DI ANTARA KPDN DAN PERSATUAN FRANCAIS MALAYSIA DALAM MEMBANGUNKAN INDUSTRI FRANCAIS

KUALA LUMPUR, 26 OKTOBER 2023 – YB Datuk Armizan Mohd Ali, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengadakan satu sesi pertemuan bersama pihak Persatuan Francais Malaysia (MFA) bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berkaitan industri francais di Malaysia selain sebagai salah satu usaha untuk memuktamadkan dasar francais negara di bawah peranan KPDN.

Sesi pertemuan dua hala antara KPDN dan MFA ini telah diadakan di Bangunan Parlimen, Malaysia. Kerjasama yang kukuh ini sekaligus menguatkan lagi hubungan bersama Persatuan Francais Malaysia dalam membangunkan industri francais.

Usaha KPDN untuk mengembangkan lagi industri francais yang merupakan industri tumpuan di bawah Sektor Perdagangan Dalam Negeri berjaya memberi impak yang besar apabila nilai jualan francais mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 105.48% iaitu RM30 bilion pada tahun 2021 berbanding RM14.6 bilion pada tahun 2020.

Hasil pengukuhan industri francais di peringkat domestik, KPDN telah berjaya mengembangkan industri ini ke peringkat antarabangsa dengan penembusan lebih daripada 70 jenama francais tempatan di 80 buah negara dan ini membuktikan, industri francais di Malaysia sedang berkembang secara dinamik serta mampan dan ini didorong oleh faktor-faktor seperti persekitaran perniagaan yang kondusif dan menggalakkan termasuklah sokongan kerajaan terhadap industri francais melalui pelbagai inisiatif dan insentif.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


imagePutrajaya, 27 Oktober - Tabung Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah dilancarkan oleh YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 27 Oktober 2023 bertempat di Ibu Pejabat KPDN, Putrajaya.

“Tabung Palestin KPDN, Solidariti Untuk Mu” yang dilancarkan ini sebagai inisiatif keperihatinan dan tanda solidariti dalam kalangan warga kerja KPDN terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Pelancaran tabung ini diharap mampu mencapai objektif kutipan rakyat Malaysia yang disasarkan oleh YAB Perdana Menteri sejumlah RM100 juta. KPDN menyahut seruan Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan sri Mohd Zuki yang menggesa agar kutipan sumbanagan secara agresif digerakkan di setiap Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan dalam tempoh dua (2) minggu sebagai tanda solidariti serta semangat kemanusiaan dalam kalangan penjawat awam terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Semoga tabung yang dilancarkan ini dapat mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang terkesan akibat konflik di semenanjung Gaza, Palestin.

Dari sungai ke senggara, Palestin pasti merdeka!

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive