Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

imagePUTRAJAYA, 13 SEPTEMBER 2023 – KPDN telah membuat serbuan di sebuah premis terkemuka yang menjual beras dengan harga mengelirukan di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada 10 September 2023. Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya adalah hasil aduan daripada orang awam yang diterima oleh pihak KPDN berhubung penjualan beras jenama Bird of Paradise Super Siam varian 10kg dengan harga yang mengelirukan.

Menurut YB Datuk Armizan Mohd Ali, Pemangku Menteri KPDN, hasil pemeriksaan awal mendapati, harga yang dipamerkan pada tanda harga beras jenama Bird of Paradise Super Siam 10kg itu adalah RM52.40 manakala harga yang dicetak pada plastik pembungkus beras berkenaan adalah RM48.80 dengan perbezaan harga sebanyak RM3.60.

Anggota penguat kuasa telah bertindak melakukan imbasan harga pada mesin pengimbas harga di premis berkenaan dan mendapati harga yang tertera melalui imbasan tersebut adalah RM52.40 berbanding harga pada pembungkus beras itu RM48.80.

Tindakan kes telah dilakukan oleh pasukan serbuan di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599] iaitu memberi gambaran yang mengelirukan mengenai harga apa-apa barang atau perkhidmatan.

Jika sabit kesalahan di bawah Akta 599 ini, mana-mana orang boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi mana-mana pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00.

Tambahnya lagi, KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan termasuklah tidak mempamerkan harga mengelirukan ke atas barangan yang dijual.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung isu kekurangan bekalan atau kenaikan harga beras, boleh menyalurkan aduan kepada pihak Kementerian melalui saluran rasmi yang disediakan.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


imageBANDAR UTAMA, 13 SEPTEMBER 2023- YBhg. Dato’ Rohaizi bin Bahari, Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 bertempat di Sri Pentas Bandar Utama, Selangor.

Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 akan mengetengahkan beberapa inisiatif strategik yang mana akan membantu melonjakkan ekonomi domestik, meluaskan pasaran produk tempatan, di samping membantu penerimaan rakyat terhadap barangan Malaysia.

Kementerian juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama 16 syarikat peruncitan tempatan terkemuka negara dan juga 3 platform dalam talian bagi memastikan produk tempatan terus diperkasa menerusi syarikat- syarikat terbabit.

Beberapa inisiatif yang dirancang termasuklah Pemerkasaan Produk Tempatan Di Dalam Industri Peruncitan Tempatan dan Platform Dalam Talian, Karnival Barangan Malaysia, Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia, Jualan Bertema Berdasarkan Segmen Khusus dan juga Kolaborasi Strategik Media Animasi Digital.

“Jom Sokong dan Beli” Barangan Malaysia “Barang Baik, Barang Kita”

 

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


imageGOPENG, 3 SEPTEMBER 2023 – Telah berlangsung Program Jualan RAHMAH Bergerak (PJRB) Peringkat Negeri Perak oleh YB. Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Bandaran Gopeng, Perak.

Sehingga kini, sebanyak 129 Program Jualan RAHMAH (PJR) telah dilaksanakan di kesemua 24 kawasan Parlimen dan 59 kawasan DUN seluruh negeri Perak dan telah memberi manfaat kepada lebih dari 160,000 orang rakyat Malaysia MADANI dengan jumlah jualan melebihi RM3 juta.

Menurut YB Timbalan Menteri, Program Jualan RAHMAH Bergerak (PJRB) kali ini diadakan dengan kerjasama daripada rakan strategik KPDN iaitu Kerjaya Emas Trading yang telah menawarkan diskaun antara 15 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat kepada 13 jenis barangan keperluan asas kering, sayur-sayuran serta buah-buahan.

Sebanyak dua (2) buah lori berkapasiti lima (5) dan sepuluh (10) tan telah digunakan bagi jelajah PJRB di kawasan terpilih seluruh negeri Perak.

Turut berlangsung, pelancaran Aduan Suri Peringkat Negeri Perak. Aduan Suri adalah kepada suri rumah tangga yang sering berurusan dengan pembelian barang keperluan secara harian dan sering berdepan dengan masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan. Ianya bagi membentuk komuniti suri rumahtangga supaya dapat menjadi mata dan telinga serta rakan strategic. Melalui inisiatif baharu dalam Aduan Suri, golongan suri rumah tangga dapat membuat aduan kepenggunaan melalui aplikasi Kod QR WhatsApp.

YB Timbalan Menteri juga turut menyampaikan sumbangan Bakul RAHMAH kepada 50 penerima dari kalangan kurang berkemampuan di sekitar kawasan DUN Teja.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


imageKUALA LUMPUR, 29 OGOS 2023 - YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan My Gaya Month 2023 yang bertempat di Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Secara rasminya, Malaysian Bumiputra Designer Association (MBDA) hari ini melancarkan MY Gaya Month 2023 buat tahun ketiga dengan matlamat untuk mengetengahkan dan mempromosi barangan Malaysia menerusi produk- produk fesyen, gaya hidup dan teknologi; sekaligus melahirkan usahawan- usahawan baharu sambil melatih graduan fesyen dari akademi- akademi tempatan dalam industri fesyen.
Kempen ini akan berlangsung selama sebulan dan Gaya Month 2023 akan melabuhkan tirainya secara gah dengan sebuah pertunjukkan fesyen pada 10 September 2023 di Farenheit88.
Menurut YBhg Datuk Azman, penganjuran My Gaya Month merupakan salah satu inisiatif strategik Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di mana objektifnya adalah bagi menggangkat segmen atau industri lain untuk diketengahkan dalam membantu usahawan tempatan memasarkan produk Barangan Malaysia.
Inisiatif ini menampilkan 31 orang pereka, usahawan gaya hidup dan akademi fesyen tempatan bersama koleksi- koleksi dan produk terbaru mereka yang direka/dihasilkan khas bagi kempen ini yang berkisar sekitar tema fabrik berelemen “heritage/warisan”.
Tambahnya lagi, acara selama sebulan ini akan menyorot kepelbagaian wawasan dan kreativiti pereka-pereka fesyen tempatan di Malaysia, di samping memberikan peluang kepada masyarakat dan pengunjung dari luar negara untuk menghayati kecantikan dan keindahan yang lahir daripada industri fesyen dan gaya hidup tempatan.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive