Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

imageMUAR, 27 JUN 2023 – YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Korban RAHMAH bersama Pasaraya Econsave di Econsave Muar, Johor.

Pasaraya Econsave melaksanakan 4 inisiatif dibawah Program RAHMAH yang terdiri daripada Jualan RAHMAH, Jualan Daging RAHMAH Sempena Hari Raya, Harga Borong RAHMAH dan hari ini Korban RAHMAH.

Menurut YB Menteri, Program Korban RAHMAH ini, pihak Econsave menyumbang 200 ekor kambing yang bernilai RM 200 ribu untuk diserahkan kepada Yayasan RAHMAH.

Sehingga kini, Pasaraya Econsave masih menawarkan kempen Jualan RAHMAH yang telah dilancarkan pada 11 Januari 2023. Sehingga kini, lebih 3000 jenis harga barangan telah diturunkan sepanjang Program Jualan RAHMAH diadakan.

Dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk meringankan beban ekonomi dan kos sara hidup rakyat Malaysia, Econsave Cash & Carry memainkan peranannya bagi memastikan pelanggan boleh membeli barangan pada harga yang rendah.

KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia Madani dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (cost of living) dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini. Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.

Tambahnya lagi, KPDN amat berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


imagePUTRAJAYA, 27 JUN 2023 – Telah berlangsung Penyampaian Lesen Jualan Langsung kepada 21 syarikat jualan langsung; 46 Sijil Kelulusan Pendaftaran Francais kepada syarikat francais dan 8 Sijil Pendaftaran Konsultan. Ianya telah disempurnakan oleh YBhg Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KPDN di di Dewan Serbaguna, KPDN Putrajaya.

Menurut YBhg Datuk Azman , ini merupakan platform terbaik kepada para pemain industri untuk bersuai kenal, di samping melihat potensi, hala tuju perniagaan dengan memasarkan produk dan menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti, seterusnya bersama-sama menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara melalui industri francais dan jualan langsung.

Ini juga adalah usaha berterusan Kerajaan dalam membangunkan industri jualan langsung dan francais di negara ini sejajar dengan visi KPDN untuk menjadikan Perdagangan Domestik Tunjang Ekonomi Berpendapatan Tinggi.

Turut berlangsung sesi ramah mesra bersama pemain industri dan taklimat penguatkuasa melalui melalui Revive Talk with Franchise and Direct Selling Industries 2023.

YBhg. Datuk Azman juga mengingatkan agar pemegang lesen dan sijil supaya sentiasa mematuhi segala peraturan yang berkuatkuasa demi menggalakkan pembangunan perdagangan dalam negeri yang beretika, di samping melindungi kepentingan pengguna khususnya berkaitan dengan kos sara hidup.

KPDN akan terus menyokong daya usaha ke arah perkembangan industri francais dan jualan langsung yang lebih mampan serta berdaya saing sama ada di peringkat domestik mahupun global.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


imagePUTRAJAYA, 22 JUN 2023, KHAMIS – YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup hari ini telah melancarkan jenama “Pakej RAHMAH Insurans” dan “Pakej RAHMAH Takaful” yang diadakan semasa Perhimpunan Bulanan KPDN Bulan Jun 2023 di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya.

Pelancaran kedua-dua jenama ini adalah seiring dengan hasrat KPDN yang memperluas pelaksanaan Program Payung RAHMAH agar turut meliputi segmen perlindungan diri dan harta benda (seperti kenderaan bermotor). Selain itu, pelancaran kedua-dua jenama ini turut menunjukkan perkembangan pelaksanaan Inisiatif Pakej RAHMAH semakin berkembang di seluruh negara yang dimulakan oleh sektor peruncitan, perhotelan/hospitaliti, fisioterapi dan farmasi.
Menurut YB Menteri, KPDN amat berbesar hati dengan penyertaan jenama insurans “Allianz Malaysia” (diterajui oleh Allianz General Insurance (Malaysia) Berhad), dan jenama insurans dan takaful “Etiqa” (diterajui secara bersama oleh Etiqa General Insurance Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad) yang telah menyahut cabaran dengan memulakan pelaksanaan inisiatif ini melalui operasi perniagaan masing-masing.
Turut berlangsung pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPDN Bulan Jun 2023, bagi menyokong agenda Kementerian, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah memperuntukan RM200 ribu di bawah Inisiatif Tunai RAHMAH bertujuan membantu golongan usahawan asnaf B40 terutamanya peniaga kecil yang memiliki harta intelek untuk melindungi serta mendaftar IP mereka. Inisiatif ini juga bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan kestabilan sumber pendapatan yang menyumbang ke arah peningkatan pertumbuhan ekonomi negara. 
Selain pendaftaran harta intelek, pemberian Bantuan IP2U RAHMAH termasuk sebagai modal pembelian peralatan perniagaan dengan jumlah RM3,000.00 setiap usahawan asnaf. Sebagai permulaan, seramai 10 orang usahawan asnaf di sekitar lembah klang terpilih untuk menerima sumbangan Bantuan IP2U RAHMAH yang disampaikan oleh YB Menteri KPDN.
Dalam majlis yang sama, YB Menteri KPDN turut melancarkan aplikasi “IP2U” bagi memudahkan orang ramai terutamanya pemilik harta intelek untuk menyemak status pemfailan, membuat carian harta intelek dan menerima notifikasi tempoh tamat pendaftaran. Aplikasi yang dibangunkan MyIPO ini dihubungkan terus dengan Sistem Pengurusan Harta Intelek (SPHI) serta boleh diakses dengan lebih pantas menerusi peranti pintar.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat

imageKUALA LUMPUR, 20 JUN 2023, SELASA- Telah berlangsung Pameran Hadiah Malaysia Edisi Ke-13 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur dari 20 hingga 22 Jun 2023. MAjlis telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup .

YB Menteri memaklumkan, Pameran Hadiah Malaysia ini telah secara rasmi diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai "Pameran Hadiah Terbesar" di Malaysia. Sebanyak 131 syarikat dari Malaysia, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Korea, India, dan United Kingdom menyertai acara 3 hari yang disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). 
Acara tahun ini menampilkan pelbagai jenis produk baru seperti hadiah rekaan khas, pakaian, peralatan & tekstil, trofi, lencana dan pin, barangan kulit, peralatan minuman, mug, seramik, IT & elektronik, jam, perkhidmatan mesin & cetakan, pembungkusan & produk kertas, portfolio & diari, alat tulis & aksesori, produk kayu, dan banyak lagi. 
Diharap dengan adanya program dan pameran seperti ini dapat memberi pertumbuhan industri hadiah yang positif dan pada masa yang sama membina hubungan perdagangan domestik dan antarabangsa yang lebih kukuh.
 
Oleh : Unit Komunikasi Korporat
 

ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive