Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

imageAMPANG, 31 MEI 2023, RABU – YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama-sama YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Jualan Mega Ehsan RAHMAH (JER) yang diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, Taman Keramat, Selangor.

Majlis Pelancaran Program Jualan Mega Ehsan RAHMAH (JER) pada hari ini adalah sebagai tanda kick-off Program Jualan Ehsan RAHMAH (JER) yang akan dilaksanakan di semua 56 kawasan DUN di seluruh Negeri Selangor, di mana lokasi dan keperluan logistik diuruskan oleh pihak DUN.

Program Jualan Mega Ehsan RAHMAH (JER) yang pertama diadakan di Negeri Selangor ini menawarkan dan memfokuskan penjualan bagi tujuh (7) jenis barang keperluan asas utama pengguna seperti Ayam Segar, Beras, Telur Ayam, Minyak Masak, Ikan, Gula Pasir dan Daging Sejuk Beku pada harga runcit serendah 30% berbanding harga pasaran.

Untuk pengetahuan, Program JER Selangor ini merupakan kerjasama strategik pertama yang digerakkan di antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Kerjasama strategik ini adalah idea penggabungan dan penyelarasan dua program di bawah inisiatif kos sara hidup iaitu Program Jualan RAHMAH dan Jualan Ehsan Rakyat di Selangor dengan penjenamaan semula sebagai Jualan Mega Ehsan RAHMAH (JER).

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


imageKUCHING, 29 MEI 2023, ISNIN – YBhg Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuat tinjauan ke atas peniaga dan pada masa yang sama melancarkan Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai 2023 peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Farley Supermarket, Batu 6, Jalan Penrissen, Kuching, Sarawak.

Pada 23 Mei 2023, Kementerian telah membuat pengumuman pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2023. Tempoh pelaksanaan adalah selama 7 hari iaitu 3 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 3 hari selepas perayaan. Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Gawai 2023 berkuatkuasa dari 29 Mei 2023 hingga 4 Jun 2023 dan hari ini merupakan hari pertama pelaksanaannya.

Pelaksanaan Skim ini adalah bertujuan menstabilkan harga barangan semasa permintaan terhadap barangan dijangka akan meningkat semasa menjelangnya perayaan, semasa perayaan dan beberapa hari selepas perayaan.

Sebanyak 8 jenis barangan dikawal di bawah pelaksanaan Skim ini. Selain itu, 6 jenis barangan daripada kategori ayam dan telur sedang dikawal di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari 2022.

Berdasarkan pemerhatian yang telah dilakukan sepanjang lawatan pada hari ini, didapati terdapat beberapa barangan yang dijual lebih rendah dari harga kawalan dan secara tidak langsung menggambarkan peniaga bersama-sama dengan pihak Kementerian bagi menjayakan Skim ini.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


imagePUTRAJAYA, 25 MEI 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menerima permohonan daripada dua (2) syarikat pengeluar gula tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan Gula Putih Bertapis Jernih di mana harganya tidak dikawal sebaliknya ditentukan oleh pasaran.

Menurut YB Datuk Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,permohonan ini adalah sebahagian daripada pelan pemasaran syarikat-syarikat tersebut untuk terus kekal berdaya saing dan lestari. Kerajaan bersetuju dengan permohonan ini kerana Gula Putih Bertapis Jernih akan memberikan pilihan kepada pengguna selain gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus).

Pihak MSM dan CSR juga telah diarahkan untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) pada kuantiti semasa yang mencukupi untuk pasaran runcit pada harga yang dikawal oleh Kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram (kasar) dan RM2.95 sekilogram (halus). Kebenaran untuk penjualan Gula Putih Bertapis Jernih akan bermula pada 25 Mei 2023.

Tegasnya lagi, penjualan Gula Putih Bertapis Jernih ini tidak boleh menggantikan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus). Syarikat-syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) yang mencukupi di pasaran. Begitu juga kepada mana-mana pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) kepada pelanggannya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


imageKUALA LUMPUR, 23 MEI 2023-YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2023.

SHMMP Pesta Kaamatan akan dilaksanakan pada 27 Mei 2023 sehingga 2 Jun 2023 dan SHMMP Hari Gawai pada 29 Mei 2023 sehingga 4 Jun 2023. Tempoh pelaksanaan Skim tersebut adalah selama 7 hari iaitu 3 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 3 hari selepas perayaan.

SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat.

Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

Pengguna boleh menyemak senarai Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk Skim ini di peringkat pemborong dan peruncit melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my.

 

 image

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive