Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

imageMELBOURNE, 7 MEI 2023 - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi sulungnya bagi Misi Perdagangan Francais Malaysia ke Melbourne, Australia sempena dengan Franchising & Business Opportunities Expo 2023 (FBOE 2023).

Misi ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan di bawah Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) yang bertujuan untuk memupuk dan menggalakkan lebih banyak eksport francais ke negara luar.

Tambahnya lagi, objektif utama misi perdagangan ini adalah bertujuan untuk memacu dan menggalakkan pengembangan jenama Malaysia ke Australia termasuk bekerjasama dengan pelabur-pelabur berpotensi dan bersesuaian melalui pameran itu.

Ia adalah satu peluang yang baik bagi syarikat Francais Malaysia untuk bekerjasama dengan bakal ahli perniagaan Francais Australia bagi mengembangkan perniagaan mereka di pasaran Australia. Misi perdagangan antarabangsa Francais Malaysia ini adalah yang pertama untuk tahun ini. Selain itu juga, terdapat cadangan beberapa negara lain untuk misi perdagangan seperti Thailand, Indonesia, Türkiye, dan India yang akan bermula dari bulan Julai sehingga Oktober 2023.

Delegasi ini juga terdiri daripada pegawai daripada KPDN, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Persatuan Francais Malaysia (MFA), dan lapan (8) jenama francais terkemuka Malaysia iaitu Oldtown White Coffee, Marrybrown, Smart Reader Kids, Q-Dees, US Pizza, Laundrybar, CheeseU dan HOME Maths Therapy.

Baru-baru ini, Marrybrown telah melantik francaisi induk mereka di Australia, manakala Smart Reader Kids telah membuka cawangan ke-4 di Melbourne. Ini adalah contoh yang baik untuk syarikat lain bagi menembusi pasaran antarabangsa dengan mempromosikan jenama Malaysia.

Untuk pengetahuan, sehingga kini sebanyak 68 jenama francais Malaysia telah berkembang ke 75 negara. Antara jenama Francais Malaysia yang telah menembusi pasaran Australia ialah Marrybrown, Tealive, Global Art, Smart Reader Kids, Aloha Mental Arithmetic, dan banyak lagi.

Secara keseluruhannya, misi ini telah mencapai sasarannya dan berjaya menarik nilai potensi pelaburan berjumlah RM30 juta dari negara Australia, termasuk hasil gandaan ekonomi seperti peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, serta potensi eksport dari Malaysia ke Australia.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ops pantau 2023PUTRAJAYA, 27 APRIL 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan OPS PANTAU 2023 sepanjang bulan Ramadan yang lalu. Berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan bermula 23 Mac 2023 hingga 1 April 2023 yang lalu, sebanyak 374 kes telah dihasilkan atas pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM60,200.00.

Menurut Datuk Azman Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, 66,701 premis telah diperiksa di seluruh negara. Selain itu, sebanyak 1,127 aduan oleh pengguna juga telah diterima dalam tempoh yang sama.

OPS PANTAU 2023 yang telah dilaksanakan antara lain bertujuan memastikan tahap pematuhan yang tinggi oleh semua peniaga serta mewujudkan persekitaran perdagangan yang kondusif di samping membantu rakyat Malaysia MADANI mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup.

OPS PANTAU 2023 telah dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti penjualan secara dalam talian.

Tambahnya lagi, pemeriksaan di bawah OPS PANTAU 2023 ini antara lain memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan/cetak rompak, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) Tahun 2023, isu halal dan penjualan barang-barang keperluan Hari Raya Aidilfitri.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


restoran-makanan-segera-marrybrown-sertai-inisiatif-menu-rahmah.jpgJOHOR BAHRU, 25 FEBRUARI 2023, SABTU– YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini telah menghadiri dan merasmikan Menu RAHMAH di Restoran Marrybrown Paradigm Mall, Johor Bahru.

Seperti sedia maklum, Menu RAHMAH adalah inisiatif terbaru Kerajaan dalam membantu dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan yang memerlukan untuk mendapatkan makanan bermasak yang seimbang pada harga RM5.00 dan ke bawah.

Inisiatif Menu Rahmah terus mendapat sambutan daripada para pengusaha premis makanan dan syarikat-syarikat swasta semenjak ianya dilancarkan pada 31 Januari 2023 dan pada hari ini, restoran Marrybrown yang merupakan antara rangkaian Restoran Perkhidmatan Pantas atau QSR (Quick Service And Fast Casual) utama di Malaysia telah menjadi restoran makanan segera halal tempatan pertama yang telah melancarkan “Menu RAHMAH” di negara ini.

Menu RAHMAH ini ditawarkan dengan pilihan dua jenis hidangan iaitu Menu RAHMAH Burger Ayam atau Menu RAHMAH Nasi Kari dan disertakan dengan sebotol air minuman dengan harga RM 5.00 bagi satu set menu. Hidangan tersebut boleh dibeli bermula pada jam 12 tengah hari hingga 2 petang dan 6 petang hingga 8 malam setiap hari di 262 cawangan Marrybrown seluruh negara kecuali di semua cawangan Marrybrown di lapangan terbang dan juga taman tema Genting.

Pada hari ini, YB Menteri PDN turut menyerahkan sumbangan Bakul RAHMAH kepada sepuluh (10) keluarga dari golongan B40. YB Menteri juga berkesempatan menyerahkan sumbangan pek “Kembali ke Sekolah” kepada 30 orang anak-anak dari keluarga B40. Seterusnya, pada hari ini juga pihak Marrybrown telah menyerahkan sebanyak 2,000 unit baucar makanan kepada Encik Mohamad bin Hapil, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKM).

Oleh : Unit Komunikasi Korporat

 


bekalan telur ayam di pantai timur stabil dan mencukupi menjelang aidilfitriPUTRAJAYA, 21 APRIL 2023 – Susulan berita gangguan bekalan telur ayam negeri di Pantai Timur menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri pihak – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil maklum laporan oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 April 2023 mengenai isu tersebut.

Menurut YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri PDN, Kementerian telah mengambil tindakan segera dengan melakukan pemeriksaan dan pemantauan di beberapa buah pasar raya dan pasar raya besar terpilih di negeri Kelantan dan Terengganu. Hasil pemeriksaan itu mendapati kebanyakan pasar raya masih mempunyai bekalan telur ayam pelbagai gred yang mencukupi menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, Kementerian juga sentiasa melakukan pemantauan berkala berhubung keberadaan bekalan telur ayam ke atas 225 buah premis Pengedar Peruncit Terpilih (Dedicated Distributor Retailer) di seluruh negeri Kelantan. Berdasarkan statistik bekalan telur ayam di premis tersebut sehingga 20 April 2023, sebanyak 220,140 biji stok telur ayam pelbagai gred masih ada di pasaran.

Tambahnya lagi, bekalan telur ayam di negeri Kelantan tidak mengalami masalah dan masih mencukupi untuk kegunaan isi rumah sempena musim perayaan ini. Pada masa yang sama, melalui pemeriksaan di peringkat runcit dan borong juga, kedudukan bekalan telur ayam di seluruh Kelantan adalah stabil.

Di Terengganu pula, bekalan telur masih boleh diperolehi di pasar raya-pasar raya utama dan juga di kedai-kedai runcit di pekan-pekan kecil. Hasil pemantauan menunjukkan permintaan terhadap telur semakin menurun kerana berakhirnya bazar-bazar Ramadan dan tiada lagi permintaan yang banyak dari industri kuih, kek dan biskut raya. Telur daripada gred kawalan juga masih banyak dan dijangka mampu untuk menampung permintaan pengguna.

Orang ramai khususnya pengguna di Pantai Timur dinasihatkan agar tidak panik dengan situasi ini dan berhemah apabila membeli telur ayam untuk kegunaan di musim perayaan ini bagi mengelakkan gangguan ke atas bekalan telur ayam di pasaran.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive