Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

imageBANGI, 05 APRIL 2023, RABU- Telah berlangsung sesi libat urus Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Gerakan Pengguna Siswa bersama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh di De.Wan Bangi Resort Hotel.

Fokus utama sesi libat urus ini diadakan bertujuan mendayaupayakan pengguna melalui perkongsian ilmu, menyebar luas dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan.

Sesi ini juga merupakan platform dalam mendengar idea-idea yang lebih segar secara santai selain bertukar pandangan dan mendekatkan lagi jalinan kerjasama antara Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Gerakan Pengguna Siswa bersama Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


imagePUTRAJAYA, 3 APRIL 2023 - Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersetuju untuk mengekalkan harga runcit minyak masak sawit tulen untuk tempoh 8 April 2023 hingga 7 Mei 2023.

Secara umumnya, terdapat kenaikan harga minyak sawit mentah (crude palm oil) untuk bulan Mac berbanding bulan sebelumnya yang telah melepasi RM4,000.00 per tan metrik. Purata harga Minyak Sawit Mentah untuk bulan Mac 2023 adalah RM 4,139 per tan matrik berbanding RM 3,908 per tan matrik pada bulan Februari 2023. Kenaikan ini sekaligus akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen kemasan botol berdasarkan kepada konsep harga siling bergerak.

Ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Payung RAHMAH dalam membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga. Ianya juga adalah bagi mengelakkan kesan kepada pengguna serta untuk memastikan sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak terjejas dengan sebarang isu kenaikan harga yang tidak munasabah.

Berikut merupakan harga runcit maksimum bagi minyak masak (botol) 1kg (RM6.90), 2kg (RM13.30), 3kg (RM19.60) dan 5kg (RM30.90). Pengekalan harga runcit minyak masak sawit kemasan botol ini melibatkan pembayaran subsidi kepada pengilang-pengilang penapis secara tuntutan bayaran balik (reimbursement) berdasarkan bilangan tuntutan sebenar.

Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksima boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti. Pengguna disarankan agar menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN termasuk harga runcit minyak masak sawit tulen di 3 pasaran secara rasmi melalui saluran yang disediakan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


imagePUTRAJAYA, 29 MAC 2023, RABU – YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah menyampaikan Geran Kajian, Pembangunan, dan/ atau Pengkomersilan (R&D&C) Program Khazanah Alam Industri Jualan Langsung kepada 8 syarikat jualan langsung dan 1 badan berkanun dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna KPDN Putrajaya.

Inisiatif pemberian Geran R&D&C ini bertujuan untuk memperkembangkan perniagaan jualan langsung khususnya kepada syarikat jualan langsung yang mengeluar dan memasarkan produk tempatan berasaskan sumber alam semula jadi serta membantu syarikat mengkomersilkan produk jualan langsung.

Menurut YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, KPDN berharap pemberian geran ini akan dapat meningkatkan dan memajukan industri jualan langsung serta yakin ianya akan dapat memberi nilai tambah kepada produk-produk khazanah alam tempatan. Majlis ini turut menyaksikan penyerahan lesen jualan langsung melibatkan 14 syarikat menerima lesen baharu manakala 54 syarikat menerima lesen pembaharuan.

Kementerian mengingatkan agar pemegang lesen jualan langsung sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah digariskan demi menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan aktiviti jualan langsung yang beretika di samping peka kepada hak serta kepentingan pengguna.

KPDN selaku Kementerian bertanggungjawab mengawal selia industri jualan langsung yakin industri jualan langsung ini akan terus berkembang maju dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negara.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


imageKUALA LUMPUR, 28 MAC 2023, SELASA– YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri bersama-sama YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah melepaskan “Flag Off” Konvoi Bakul RAHMAH ke Tambun yang diadakan di Lobi Pejabat Ketua Majlis, Bangunan Parlimen.

Sebanyak 1500 Bakul RAHMAH dan 6 buah lori telah dilepaskan ke Tambun oleh YAB Perdana Menteri. Untuk pengetahuan umum, KPDN telah melancarkan Inisiatif Bakul RAHMAH melalui Program Payung RAHMAH yang telah diperkenalkan oleh Kementerian pada awal tahun ini bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 (pendapatan kurang daripada RM2,500) dan mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh golongan ini.

Menurut YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, sehingga hari ini, sebanyak 26,150 Bakul RAHMAH telah diagihkan ke seluruh Malaysia dengan bantuan sumbangan berbentuk makanan asas daripada Yayasan Global Mesra (YGM). Kementerian akan menggerakkan Inisiatif Bakul RAHMAH ini dengan kerjasama bersama Rakan Strategik, Pemain Industri (pasar raya) agensi Kerajaan, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya. Sehingga hari ini, Inisiatif Bakul RAHMAH ini semakin mendapat perhatian ramai terutama syarikat korporat dan hal ini akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Kementerian berharap lebih ramai pihak industri, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat, dermawan dan orang perseorangan dapat bersama Kementerian dalam menggembleng tenaga dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar dan seterusnya menjayakan Inisiatif Bakul RAHMAH ini.

Kementerian mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang giat aktif membantu melaksanakan Kementerian dalam membantu golongan sasar. KPDN juga amat                          mengalu-alukan sumbangan dari syarikat-syarikat, organisasi-organisasi dan orang perseorangan sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat dalam membantu golongan yang memerlukan khususnya mangsa bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive