Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap
2.9 JUTA TERIMA PROGRAM SUBSIDI PETROL

image

PUTRAJAYA, 7 OKTOBER 2019 –  Kira-kira 2.9 juta rakyat Malaysia bakal menerima subsidi melalui Program Subsidi Petrol (PSP) yang bermula Januari tahun depan.

Ketika mengumumkan program PSP di dalam sidang media khasnya di kementerian ini tengah hari tadi, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, prinsip bantuan yang hendak disampaikan oleh kerajaan ialah melalui pengagihan semula subsidi yang sama, dan penggubalan dasar berpandukan data yang diperolehi dari Data Asas Jabatan Pengangkutan Jalan dan Data Asas Bantuan Sara Hidup .

Katanya, subsidi sedia ada secara pukal yang dinikmati oleh semua orang tanpa mengira kerakyatan dan pendapatan akan diubah kepada golongan sasar yang layak iaitu warganegara Malaysia berpendapatan rendah yang sangat memerlukan bantuan tersebut.

Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk sebagai penerima subsidi petrol ini. Selain itu, penerima yang memiliki kereta yang berkuasa 1600 cc dan ke bawah atau  yang mempunyai kuasa melebihi 1600 cc tetapi jangka hayat kenderaan melebihi 10 tahun layak menerima subsidi petrol tersebut.

Selain itu, motosikal berkuasa 150 cc serta motosikal melebihi 150 cc yang berjangka hayat tujuh tahun dan ke atas diambil kira dalam program ini. Kenderaan tersebut mestilah didaftarkan atas nama penerima subsidi dan masih aktif dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan.

Orang ramai boleh melayari portal di psp.kpdnhep.gov.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Program Subsidi Petrol serta boleh membuat semakan kelayakan bermula 15 Oktober 2019.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


UPNM JADI DESTINASI KE-17 FOODBANK SISWA

image

SUNGAI BESI, 4 OKTOBER 2019 –Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjadi destinasi ke-17 program Foodbank Siswa dalam misi menyalurkan bantuan lebihan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan dan pada masa yang sama membantu meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh mereka.

Seramai 200 pelajar dikenal pasti bagi menerima sumbangan melalui program ini yang dirasmikan pelancarannya oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Program Food Bank Siswa atau dikenali di UPNM sebagai Food Bank Satria menggunakan konsep Food Pantry dan digerakkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti tersebut.

Cadangan Mesyuarat majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 15 Februari tahun ini agar pelaksanaan Food Bank Malaysia diperluaskan ke seluruh institusi pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang kini dikenali sebagai Food Bank Siswa.

Sasaran 20 IPTA untuk tahun ini hampir menjadi realiti sebelum ia diperluaskan ke 123 IPT, Politeknik, Institut Pendidikan Guru (IPG) tahun hadapan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


UPM JUARA DEBAT ALA PARLIMEN ZON TENGAH

image

SHAH ALAM, 28 SEPTEMBER 2019 - Universiti Putra Malaysia (UPM ) berjaya muncul juara debat ala Parlimen sempena Mini Karnival  Kepenggunaan Zon Tengah apabila mengenepikan pencabarnya, Kolej Universiti Polytech Mara (KUPTM) Cheras dengan keputusan 3-0 sekali gus membawa pulan wang tunai RM2,000, piala dan medal selaku juara.

KUPTM walaupun menjadi naib juara tetapi berpuas hati apabila pendebatnya muncul pendebat terbaik dengan membawa pulang hadiah bernilai RM500.

Sebanyak tujuh pasukan  iaitu, Universiti Teknologi Malaysia, Politeknik Banting, Politeknik Sultan Idris Shah, Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatic, Institut Pendidikan Pengurusan Islam, UPM dan KUPTM beradu nasib di dalam debat membabitkan Institusi Pengajian Tinggi yang mewakili Kuala Lumpur dan Selangor.

Program tiga hari itu menyediakan pertandingan coral speaking untuk sekolah rendah, pertandingan sketsa yang bertajuk “Tipah Tertipu ” melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah dan pertandingan debat untuk pelajar IPT.

Majlis anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor dan Kuala Lumpur itu berlangusng di The BlackBox, SACC Mall Shah Alam. Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Kepenggunaan dan Pengurusan, KPDNHEP, Dato’ Rostam Affendy Dato’ Haji Salleh. Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Selangor, Mohd, Zikril Azan Abdullah dan Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariifin Shamsuddin.

Dalam ucapannya, Dato’ Rostam mengalu-alukan lebih banyak program interaksi serta membuka peluang kepada orang ramai khususnya ahli-ahli Gerakan Pengguna Sekolah atau Gerakan Pengguna Siswa untuk menunjukkan bakat serta kebolehan mereka dalam menyuarakan pendapat atau pandangan bagi memperkasa hak-hak pengguna.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


BARANGAN TIRUAN BERNILAI RM 1.09 JUTA DILUPUS

image

NILAI , 18 SEPTEMBER 2019 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini melupuskan barangan tiruan bernilai RM 1.09 juta meliputi 33 kes sitaan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Pelupusan ini merupakan pelupusan eksibit bilangan 6/2019 yang dilaksanakan di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa, KPDNHEP di sini.

Barangan tiruan yang dilupuskan adalah beg tangan, beg galas, dompet, kemeja T, seluar, kasut, aksesori telefon, toner katrij dan arak. Kesemua barangan yang dilupuskan merupakan rampasan ke atas pelanggaran kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Pelupusan ini diketuai Timbalan Pengarah Penguatkuasa, Rosli Ahmad dan dibantu pegawai-pegawai dari Ibu pejabat Putrajaya.

Menurut Rosli, pelupusan ini adalah kali keenam dalam tahun ini selepas menerima arahan daripada pihak mahkamah dan pengawal perihal dagangan.

“Jumlah keseluruhan pelupusan yang telah dijalankan oleh KPDNHEP Putrajaya sejak Januari sehingga Julai 2019 ialah RM 1.87 juta melibatkan 173 kes sitaan,” ujarnya.

Turut sama, wakil-wakil pemegang cap dagangan yang mewakili syarikat masing-masing untuk menyaksikan proses pelupusan tersebut.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive