PUTRAJAYA, 13 JUN 2017 – Kerajaan hari ini mengumumkan harga 21 barangan kawalan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri melalui pelaksanaan Skim Kawalan harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Raya Aidilfitri 2017.
Pengumuman pelaksanaan SKHMP Hari Raya Puasa ini disempurnakan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin di kementeriannya di sini, hari ini.
Di antara barangan tersebut, ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A,B dan C, daging lembu tempatan, daging lembu import (dikawal di Sarawak sahaja), daging lembu import (India), tomato, kubis bulat, kelapa biji dan parut, bawang merah kecil, bawang putih, ubi kentang import, ikan kembung, ikan selayang dan ikan aya (bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang).
Katanya, pelaksanaan SKHMP Hari Raya Puasa 2017 yang bermula dari 17 hingga 30 Jun 2017 melibatkan lapan hari sebelum perayaan, sehari pada hari perayaan dan lima hari selepas perayaan.
“Penentuan harga maksimum dibuat diperingkat pengeluaran (bagi ayam dan telur ayam), borong dan runcit dalam rantaian pengedaran mengikut kewajaran dan kesesuaian. Penentuan ini dibuat agar penguatkuasaan kawalan harga adalah lebih berkesan dan penawaran harga yang berpatutan untuk barangan perlu bagi manfaat pengguna dan peniaga,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi harga yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan SKHMP ini. Peniaga juga diingatkan agar mempamerkan harga barang-barang kawalan ini dengan menggunakan tanda harga berwarna merah jambu.
Pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNKK akan ditempatkan di semua lokasi tumpuan seperti di pasar – pasar awam, pasar tani disamping pemantauan oleh rakan rakan strategik KPDNKK seperti RELA, Penghulu, Friends Of KPDNKK (FOK) dan skuad Pengguna.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK