ULU KINTA, 2 MEI 2017 – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negari, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Sri Jamil Salleh hari ini hadir merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Penguatkuasaan Siri 1/2017 bertempat di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am, dekat sini.
Seramai 116 peserta yang terdiri daripada Pegawai dan Penolong Pegawai Penguatkuasa gred KP41 dan KP29 terlibat dalam kursus kali ini. Mereka menjalani latihan selama sebulan di Kem Ulu Kinta dengan diberi penekanan dalam aspek ketahanan mental dan fizikal, kawad, pembinaan jati diri serta perundangan yang dikendalikan jurulatih dari kem tersebut.
Dato’ Sri Jamil berkata, profesion sebagai pegawai penguatkuasa kini semakin mencabar dengan kewujudan teknologi yang semakin canggih.
“Satu Skuad Tindakan Khas akan diwujudkan bertujuan untuk memperkasakan lagi tindakan dan operasi penguatkuasaan di seluruh negara.
Buat masa ini, skuad tersebut beroperasi secara tidak rasmi bermula 1 Disember lepas dengan dianggotai seramai 70 orang penguatkuasa “, katanya dalam sidang media di sini.
Tambahnya, skuad khas ini akan dihantar menjalani latihan khas bagi menangani isu-isu perdagangan yang semakin canggih masa kini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Penguatkuasa, Dato’ Mohd Roslan Mahayudin dan Pengarah KPDNKK Negeri Perak, Saifullizan Kamarul Zama.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK