KUALA TERENGGANU, 10 OGOS 2017 – Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Henry Sum Agong hari ini mengadakan tinjauan ke atas usahawan di Pasar Awam Payang dan Kilang Batik di Chendering, Marang bagi melihat kegiatan ekonomi yang dijalankan di kedua-dua lokasi itu.
Tinjauan yang bertujuan untuk melihat sendiri kegiatan peniaga-peniaga di pasar yang popular dalam kalangan masyarakat tempatan dan luar itu memberi pengalaman baharu tentang aktiviti ekonomi ekonomi di situ yang sebahagian besarnya didominasi kaum wanita.
Beliau diberikan taklimat oleh wakil Persatuan Penjaja Pasar Payang sebelum dibawa melawat ke beberapa tempat di pasar itu yang turut menempatkan pasar basah dan buah-buahan.
Beliau kemudian di bawa melawat serta melihat sendiri proses pembuatan batik di salah sebuah syarikat pengeluar batik di Chendering. Beliau menghabiskan kira-kira satu jam untuk melihat proses membuat batik dan tenunan sebelum berpeluang melakukan batik canting.
Hadir sama dalam lawatan ini, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Dato’ Dr. Noor Zari Hamat, Pengarah SKM Negeri dan beberapa ketua agensi negeri Terengganu.
Oleh : Unit Komunkasi Korporat KPDNKK