Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

500 DAFTAR FOK PADA PELANCARAN FOK KEDAH

KULIM, 28 JULAI 2017 – Lebih 500 mendaftar sebagai ahli Friends Of KPDNKK( FOK) pada  hari pelancaran program FOK Peringkat Negeri Kedah di Kelab Golf Kulim, Kulim Hi-Tech di sini petang tadi.

Majlis pelancaran yang ringkas tetapi meriah itu disempurnakan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

Upacara memotong riben sebagai simbolik pelancaran disambut dengan tepukan gemuruh oleh kira-kira 800 peserta yang hadir membanjiri dewan utama kelab tersebut.

Negeri Kedah adalah negeri keempat dalam siri penjelajahan ke seluruh negara bagi majlis pelancaran FOK peringkat negeri dan membolehkan gerakan pendaftaran keahlian dapat dilakukan dengan lebih giat oleh Pegawai-pegawai Penyelaras Parlimen yang dilantik di setiap kawasan Parlimen.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Hamzah mahukan agar usaha dipertingkatkan dengan menambah jumlah sedia ada bagi memperkukuhkan gelombang dan suara pengguna.

“Sebagai pengguna, kita perlu mempertahankan hak masing-masing dan tidak membiarkan peniaga mengambil kesempatan ke atas kita untuk melakukan perkara-perkara yang merugikan pengguna sendiri. Setiap perbuatan tidak beretika perlu dilaporkan ke pihak KPDNKK supaya ia dapat disiasat dan ditangani segera,” tegasnya.

Hadir sama pada majlis ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan Dan Pengurusan) KPDNKK, Dato’ Razali Haji Othamn dan Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK, Dato’ Mohamad Bakri Ibrahim.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive