Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TUNKU ANUM JUARA CIP- KPS 2017

PULAU PINANG, 27 JULAI 2017 – Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Kepala Batas, Kedah berjaya muncul juara bagi Cabaran Interaktif Pengguna- Kelab Pengguna Sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 dengan mengetepikan cabaran 15 pasukan lain.
Sekolah ini mengungguli cabaran kali ini dengan turut meraih kejayaan bagi Anugerah Khas Pengguna Bijak. Mereka membawa pulang wang tunai RM 5,000, sijil penyertaan, Piala Pusingan, piala iringan, hamper serta pen drive.
Pasukan ini yang diwakili tiga peserta perempuan dan seorang lelaki memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lain yang ternyata lebih berpengalaman dan bertenaga. Walaupun mereka tiba di garisan penamat agak lewat dari lain-lain pasukan, namun ketepatan menjawab soalan serta komitmen pasukan membantu mereka menamatkan semua cabaran yang disediakan di kesemua sepuluh lokasi di sekitar Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dan menjulang mereka sebagai juara keseluruhan.
Naib johan menjadi milik Sekolah Menengah Sains Labuan manakala tempat ketiga dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pekan, Pahang. Naib johan membawa pulang wang tunai RM 3,000 manakala ketiga dengan RM 2,000 di samping sijil penyertaan dan barangan iringan.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Henry Sum Agong telah merasmikan penutupan program tahunan ini yang menemukan semua pemenang peringkat negeri masing-masing dalam pelbagai aktiviti yang mencabar.
Dalam ucapannya, Dato’ Henry mahukan supaya para peserta ini diberikan cabaran yang lebih menekankan kepada kerjasama berpasukan, kepentingan pengguna, membuat keputusan, pengurusan kumpulan serta kepimpinan sebagai serampang dua mata kepada peserta di samping melahirkan juara yang benar-benar bijak menguruskan kewangan dan perbelanjaan.
Cabaran yang bermula sejak 25 hingga 27 Julai ini, sungguh memenatkan dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Mereka terpaksa berbasikal kesemua 10 lokasi yang ditetapkan di sekitar universiti ini untuk mencari maklumat dan menguji kehebatan kerja berpasukan.
Katanya, program ini perlu diadakan setiap tahun untuk membantu melahirkan generasi pengguna yang bijak serta mengetahui hak dan peranan mereka. Peserta juga berpeluang mempelajari budaya dan cara kehidupan masyarakat tempatan melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan itu.
Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis menjadi pemenang bagi Anugerah Khas Mesra Alam, Sekolah Menengah Kebangsaan Seafiled Subang Jaya, Selangor bagi Anugerah Nutri –X, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol yang mewakili Negeri Sembilan bagi Anugearh Bijak Wang manakala Anugerah 1 Pengguna 1 Suara menjadi milik Sekolah Menengah Sains Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive