BINTULU, 13 OKTOBER 2017 – Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin hari ini melancarkan Friends Of KPDNKK (FOK) Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Uma Balui Ukap, Sungai Asap, Belaga di sini.
Majlis pelancaran ini dilaksanakan oleh Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK Sarawak dengan kerjasama Skuad SMART Pengguna 1Malaysia yang bertujuan untuk memperkasakan suara pengguna di samping menggalakkan penyertaan orang ramai yang juga pengguna untuk menjadi mata dan telinga KPDNKK bagi mengatasi aktiviti-aktiviti kurang beretika yang dijalankan oleh segelintir peniaga.
Pada hari ini, seramai 31 Penyelaras Penyelaras Parlimen (PPP) dari seluruh negeri Sarawak menerima watikah pelantikan masing-masing bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk program-program kepenggunaan dan mendapatkan keahlian Friends Of KPDNKK (FOK).
Sehingga kini, seramai 49,475 orang telah mendaftar sebagai ahli FOK di negeri itu. Jumlah keahlian diseluruh negara adalah seramai 800,000 orang.
Pada majlis ini, Dato’ Seri Hamzah meluluskan geran sebanyak RM100,000 bagi membolehkan koperasi pendududk di sini untuk memulakan perniagaan kedai runcit bagi faedah penduduk setempat. Kedai yang bernaung di bawah nama Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) itu dijangka dapat membantu mengurangkan kos sara hidup masyarakat tempatan dengan menjual barangan lebih murah dari harga pasaran.
Beliau turut menyumbang sebanyak RM 100,000 manakala Timbalannya, Dato’ Henry Sum Agong memperuntukkan sebanyak RM 10,000 untuk pengurusan rumah panjang itu.
Dianggar seramai 16,000 penduduk menghuni di kawasan Sungai Asap itu yang turut menjadi destinasi pelancongan dengan aktiviti yang disediakan di gugusan rumah panjang di sini.
Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Kepenggunaan), KPDNKK, Dato’ Razali Haji Othman serta Pengarah KPDNKK Sarawak, Dato’ Stanley Tan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK