MELAKA, 1 OKTOBER 2017 – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Sri Jamil Salleh menyaran supaya koperasi-koperasi sekolah diberi lebih banyak ruang dan peluang untuk meneroka bidang-bidang baharu dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan bermula di peringkat sekolah.
Katanya, koperasi sekolah tidak harus terikat dengan aktiviti rutin seperti menjual alat tulis atau buku-buku sekolah, tetapi ia perlu diperluaskan dengan aktiviti-aktiviti yang diilhamkan oleh pelajar-pelajar mahupun guru-guru. Melalui cara ini, pelajar-pelajar boleh menimba pengetahuan dan pengalaman dalam bidang keusahawanan dari peringkat sekolah lagi.
“Pelajar-pelajar ini juga harus diberi peluang untuk mengetengahkan kreativiti dan inovasi dalam ciptaan produk serta perkhidmatan koperasi,” ujarnya ketika merasmikan penutup Konvensyen Young Entrepreneur Strive For Success (YESS) di Hotel Mahkkota , Melaka hari ini.
Konvensyen yang sebelum ini dikenali sebagai konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah diadakan setiap tahun dengan menemukan semua juara peringkat negeri dengan projek inovasi masing- masing.
Sebanyak 14 koperasi sekolah mengambil bahagian dalam konvensyen ini bagi merebut gelaran juara dengan hadiah utama sebanyak RM 20,000. Enam anugerah dipertandingkan bukan sahaja membabitkan pelajar malah guru-guru pembimbing koperasi.
Dato’ Sri Jamil mahukan agar lebih banyak koperasi sekolah mengambil bahagain pada tahun-tahun mendatang supaya lebih banyak inovasi dapat dihasilkan oleh pelajar-pelajar.
Koperasi Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan Berhad yang mewakili negeri Perak muncul pemenang bagi kategori Projek Terbaik dengan memperkenalkan “ UR Planting Kit’ dengan membawa pulang RM 20,000 dan tambahan sebanyak RM 20,000 geran seperti yang diumumkan oleh Dato’ Sri Jamil.
Kolej ini juga memenangi Anugerah Guru Pembimbing Terbaik dan Anugerah Pengurus Terbaik. Anugerah Pembentang Terbaik dimenangi Koperasi Sekolah Menengah Syed Alwi, Kangar. Anugerah Persembahan Terbaik menjadi milik Koperasi Sekolah Menengah Taman Tun Fuad Berhad, Kota Kinabalu dan Anugerah Khas Juri memihak kepada Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubuk, Pulau Pinang.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK