PUTRAJAYA, 7 NOVEMBER 2017 – Syarikat-syarikat Jualan Langsung dinasihatkan agar merujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekiranya menghadapi sebarang masalah berhubung perniagaan mereka.
Tindakan meminda syarat lesen dilarang sama sekali dan menyalahai Akta Jualan Langsung. Kesalahan lain seperti menyalah guna lesen yang dibenarkan, menukar pelan pemasaran, menukar alamat, pertukaran pemilikan tanpa kebenaran KPDNKK serta beberapa kesalahan lain boleh menyebabkan lesen ditarik balik.
Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh berkata, pihaknya ingin mengawal semua syarikat jualan langsung melalui lesen yang dikeluarkan KPDNKK. Beliau sendiri mahu berjumpa dengan pengusaha syarikat-syarikat tersebut melalui penyerahan lesen-lesen ini supaya syarikat-syarikat ini tidak melakukan sebarang pelanggaran syarat atau menipu pengguna.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sebanyak 51 lesen Jualan Langsung di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, Kompleks KPDNKK di sini, hari ini. Seramai 31 memperbaharui lesen manakala 19 adalah pemohon lesen baharu.
Dato’ Sri Jamil berkata, sehingga kini, KPDNKK telah mengeluarkan sebanyak 371 lesen Jualan Langsung. Sebanyak RM 14.33 billion diperoleh melalui aktiviti jualan langsung. Ini menunjukkan bahawa perniagaan ini memberikan pulangan yang lumayan kepda pengusaha-pengusahanya.
Beliau berharap agar pengusaha-pengusaha ini mempunyai integriti dan etika ketika menjalankan perniagaan mereka.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, KPDNKK, Dato’ Muez Abd. Aziz.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK