PUTRAJAYA, 15 MAC 2017 – Teknologi digital perlu digunakan secara meluas sebagai medium untuk berkomunikasi, akses kepada maklumat dan kepelbagaian dalam membuat pilihan yang sesuai dengan keperluan pengguna.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Henry Sum Agong berkata, usaha menjadikan dunia maya dalam aktiviti kehidupan sehari sentiasa relevan.
Pemilihan tema sambutan Hari Hak- hak Pengguna Sedunia 2017, “Building A Digital World Consumers Can Trust” bertepatan dengan penggunaan teknologi digital dalam kebanyakan urusan harian rakyat negara ini.
Laporan akhbar BERNAMA bertarikh 10 Mac 2017 menyatakan bahawa Malaysia adalah negara yang pesat berkembang dengan pembelian atas talian dengan jualan mencecah RM 3.1 juta dalam tempoh enam bulan baru-baru ini.
Dato’ Henry yang mewakili Menteri KPDNKK berkata, rakyat diingat supaya membuat keputusan bijak dengan mengambil tindakan yang tepat dengan situasi berlakunya kes-kes penipuan atas talian.
Langkah-langkah keselamatan sentiasa diambil bagi memastikan bahawa teknologi digital memberi keselesaan dan boleh dipercayai.
Dato’ Henry berucap demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Hak-Hak Penggunan Sedunia 2017 di Dewan Serbaguna Kompleks KPDNKK disini petang tadi.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh dan Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha Kementerian ini. Kira-kira 500 peserta yang mewakili Gerakan Penggunan Daerah dan Institusi Penggajian Tinggi hadir sama di majlis ini.