ELAMA, 29 APRIL 2017 – Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 menyasarkan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar miskin di luar bandar dan msikin bandar untuk meneruskan pendidikan mereka sehingga ke peringkat yang lebih tinggi dalam usaha memberi taraf kehidupan yang lebih baik untuk mereka.
JPB diilhamkan bagi memberi peluang kedua kepada golongan pelajar bumiputera untuk turut menjejak kaki ke menara gading mengikut bidang dan kesesuaian individu itu sendiri.
Program Jelajah Pendidikan Bumiputera Sempena Karnival Kepenggunaan di Parlimen Larut telah disempurnakan Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Hussein, di sini hari ini.
Hampir 800 pelajar mengambil peluang ini membuat pendaftaran di lebih 30 institusi pengajian tinggi yang mengambil bahagian. Tiga kumpulan sasar yang menjadi fokus JPB kali ini iaitu golongan pelajar bumiputera yang telah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia dari tahun 2012 hingga 2016, kumpulan pelajar yang mempunyai keputusan baik atau memuaskan namun masih tidak mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran serta golongan pelajar bumiputera yang miskin dan tidak berkemampuan.
Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 merupakan Projek Khas initiatif Perdana Menteri bagi menyediakan peluang kedua kepada golongan bumiputera yang kurang berkemampuan terutamanya di kawasan pendalaman dan luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Turut hadir, Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Shukry Mohd Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNKK Dato’ Basarudin Sadali, Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan Dan Pengurusan) KPDNKK, Dato’ Razali Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK