CHERAS, 12 SEPTEMBER 2018 – Program AEON Community Food Share adalah selaras hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengurangkan pembaziran makanan serta berkongsi makanan dan sumber dengan golongan komuniti yang kurang bernasib baik apabila Program Food Bank Malaysia dilaksana tidak lama lagi.
Program yang dilancarkan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato Sri Jamil Salleh yang mewakili Menteri KPDNHEP di Aeon Cheras Selatan dekat sini malam tadi turut disokong Kechara Suop Kitchen.
Sebanyak 25 keluarga di Flat Taman Harmoni Indah, Bukit Belimbing di sini terpilih untuk menerima pelbagai barangan keperluan isi rumah hasil keprihatinan Aeon dalam usaha pasar raya itu meringankan beban golongan memerlukan.
Datuk Sri Jamil berkata, usaha interaktif dan bermanfaat dilaksanakan hasil keprihatinan Aeon dengan kerjasama strategik Kenchara Soup Kitchen itu akan menjadi perintis sebelum diperluas ke seluruh negara.
Menurutnya, mulai Januari depan, program berkenaan akan menjelajah ke seluruh Malaysia bersama warga KPDNHEP dengan sasaran memberi bantuan khususnya golongan B40.
“Antara barang keperluan yang disumbang termasuklah makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, roti dan lain-lain lagi kepada setiap keluarga yang telah pun dikenal pasti lokasi dan pendapatan mereka seisi rumah.
“Usaha ini turut membuktikan bahawa setiap pasar raya sentiasa peka dengan nasib rakyat yang serba memerlukan, manakala KPDNHEP yang mewakili kerajaan akan memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif yang baik dan bermanfaat ini,” tambahnya.
Hadir sama, Puteri Selangor, Tengku Datin Paduka Seri Zatasha Binti Sultan Sharafuddin Idris Shah, Pengarah Urusan Aeon Co.(M) Bhd, Shinobu Washigawa dan kedua-dua timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP.
Sebagai usaha berterusan Aeon, pasaraya ini berhasrat untuk mengurangkan kadar Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) dengan memperkenalkan inisiatif “ Price Lock ” di mana harga baragan tidak berubah bermula 1 hingga 30 September ini sebagai persediaan pelanggan menyesuaikan dengan pelaksanaan SST ini.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP