ALOR SETAR, 10 SEPTEMBER 2018 – Anggota perkhidmatan perlu memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada kerajaan memerintah walaupun ada segelintir yang masih perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan corak dan cara pentadbiran kerajaan yang baharu ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai kerajaan yang baharu mengambil alih tampuk pemerintahan, sudah menjadi tanggungjawab semua anggota perkhidmatan memberikan kerjasama dan sokongan tanpa berbelah bahagi.
Katanya, jika ini dapat dilakukan, maka sudah pasti jentera pentadbiran di sesebuah kementerain akan dapat bergerak seiring dan berkesan dalam menunaikan tanggungjawab untuk rakyat.
“Isu-isu yang berlaku baru-baru ini seperti melewat-lewatkan pembayaran gaji atau elaun pegawai-pegawai di Pejabat Menteri atau Timbalan Menteri seharusnya tidak berlaku jika setiap anggota perkhidmatan mempunyai tanggungjawab melaksanakan tugas tanpa dipengaruhi ideologi politik atau mempunyai unsur-unsur yang tidak sihat,” ujarnya di hadapan kita-kira 60 pegawai dan kakitangan KPDNHEP Negeri Kedah Di Auditorium Wisma Persekutuan di Anak Bukit dekat sini hari ini.
“Saya bersyukur kerana pegawai dan kakitangan di kementerian saya begitu komited dan saling memberikan kerjasama sepenuhnya kepada saya dan Timbalan Menteri bagi menggalas amanah yang diberikan kepada kami,” ujarnya.
Dato’ Saifuddin juga mahukan agar hubungan yang kondusif ini perlu diteruskan bagi menghasilkan impak yang besar.
Beliau turut memaklumkan agar semua pihak bersedia dengan pelaksanaan Program Food Bank Malaysia supaya keberkesanan program ini dapat dilakukan secara menyeluruh dan bermanfaat kepada mereka yang memerlukan.
“Saya bersyukur kerana sehingga kini, kira-kira 26,000 penduduk di Pulau Pinang mengecapi nikmat program yang diperkenalkan di negeri itu tidak lama dahulu. Saya yakin program ini akan memberi impak yang besar kepada rakyat yang memerlukan di negara ini dalam menghadapi kos sara hidup,” tambahnya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP