ALOR SETAR, 10 SEPTEMBER 2018 – Orang ramai disaran membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya mengetahui berlakunya perbuatan tidak beretika peniaga seperti menjual barang dengan harga yang tidak patut atau kegiatan mengambil untung secara tidak munasabah.
Menterinya, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui cara ini, pengguna bukan sahaja membantu kementerian ini malah juga memberi mesej yang baik untuk pengguna lain agar tidak terpedaya dengan kegiatan tidak beretika segelintir peniaga.
Saluran aduan kesembilan yang diperkenalkan KPDNHEP melalui aplikasi whatapps dilihat memberi ruang dan peluang yang lebih luas kepada pengguna untuk membuat aduan kepada kementerian ini. Pengadu boleh membuat aduan dengan menaip Aduan Pengguna diikuti dengan perkara yang hendak dilapor ke talian 019-2794317 dan tindakan akan diambil dengan kadar segera jika ia lengkap dan sahih.
Pengadu perlu memuat naik gambar, memberi lokasi atau maklumat-maklumat lain agar tindakan dapat dilaksanakan segera. Maklumat yang lengkap bukan sahaja membolehkan pegawai-pegawai penguatkuasa kementerian ini bertindak pantas malah ia dapat mengelakkan dari berlaku masalah untuk bertindak.
Bercakap pada media selepas majlis perasmian penutup Taklimat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentalun di sini hari ini, Dato’ Saifuddin menyatakan bahawa setakat ini aduan mengenai makanan dan minuman yang paling banyak diterima manakala aduan berkaitan barangan keperluan harian masih rendah.
Saluran aduan melalui aplikasi whatsapp ini memudahkan orang ramai yang ingin membuat aduan dan akan mendapat jawapan dalam masa yang pantas juga.
“Aduan yang diterima kementerian ini membuktikan bahawa pengguna telah faham akan hak mereka dan mahukan agar peniaga tidak memandang ringan hak-hak pengguna itu,” ujarnya.
Majlis yang disempurnakan penutupannya oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukriz Tun Mahadhir itu dihadiri lebih 500 orang yang mewakili ahli-ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO), penjawat-penjawat awam dan swasta di negeri itu.
Takilmat disampaikan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Hak-hak Pengguna oleh Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK serta pelaksanaaan SST oleh Kastam DiRaja Malaysia.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK