GEORGE TOWN, 16 NOVEMBER 2019 – Tema sambutan Hari Pengguna Peringkat Kebangsaan ( HPK )2019 yang dipilih pada tahun ini adalah “Pengguna Produktif, Komuniti Progresif” iaitu sejajar dengan objektif HPK tahun ini iaitu menggalakkan Kerajaan dan organisasi swasta melaksanakan tanggungjawab sosial bagi meningkatkan kesedaran berhubung kepenggunaan di semua lapisan masyarakat termasuklah mengamalkan gaya hidup sihat.
HPK merupakan program tahunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang disambut mulai tahun 2001. Pada tahun ini, penganjurannya telah dimulakan dengan pelaksanaan Mini Karnival HPK Mengikut Zon iaitu Zon Tengah, Utara, Selatan, Timur, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada bulan Ogos sehingga Oktober 2019 yang lalu. Objektif utama program ini adalah untuk memperkasakan pengguna agar menjadi lebih bijak dan berdaya upaya dalam pelbagai aspek terutamanya aspek perlindungan pengguna.
Majlis perasmian penutupan disempurnakan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifddin Nasution Ismail bertempat di Padang Kota lama di sini malam tadi.
Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan logo baharu Rakan KPDNHEP bagi memberi nafas baru untuk memastikan kelangsungan program Rakan KPDNHEP. Program ini melibatkan semua peringkat golongan sasar iaitu pelajar sekolah rendah dan di peringkat yang tinggi adalah penuntut Institusi Penggajian Tinggi (IPT) di seluruh negara serta komuniti.
Keutamaan KPDNHEP adalah untuk melindungi dan memberi kesedaran kepada pengguna akan perubahan tren dan gaya hidup pengguna. KPDNHEP telah mengambil inisiatif mengkaji serta menyemak semula akta-akta dan peraturan-peraturan berkaitan pengguna. Selain itu, KPDNHEP juga mengambil inisiatif menerbitkan beberapa panduan untuk melindungi pengguna. Antara yang telah diterbitkan:
- Buku Panduan Menjalankan Transaksi Elektronik Untuk Pengguna;
- Pelan Tindakan Industri Katering 2020; dan
- Garis Panduan pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan;
Menurutnya, Program Food Bank mula diperkenalkan di peringkat KPDNHEP digerakkan dengan memperluaskan inisiatif peduli rakyat ini bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan makanan sekaligus dapat meringankan kos sara hidup golongan tersebut.
Program ini juga selari dengan matlamat United Nations Sustainable Development Goals (SDG) 12.3, iaitu mencapai pengurangan setengah daripada lebihan makanan (Food Waste) keseluruhan yang dikeluarkan oleh industri peruncitan dan pengguna menjelang tahun 2030.
Sehingga Oktober 2019, seramai 399,512 isi rumah berpendapatan rendah telah mendapat manfaat daripada program ini. Secara tidak langsung, program ini juga telah berjaya menyelamatkan sebanyak 1,856 metrik tan daripada pembaziran. Bagi Program Food Bank Siswa pula, ianya telah dilaksanakan di 19 buah Universiti Awam dan telah memberi manfaat kepada 6,470 pelajar. Kejayaan KPDNHEP ini diiktiraf oleh Kerajaan melalui peruntukan sebanyak RM25 juta yang telah diluluskan semasa pembentangan Belanjawan 2020.
Pada sebelah paginya, Ketua Menteri Pulau Pinang telah melepaskan peserta-peserta larian sejauh 5 kilomteter melalui berapa laluan utama di sekitar padang Kota Lama.
Selain itu, pelbagai aktiviti dilangsungkan di khemah utama seperti pertandingan debat kepenggunaan, coral pseaking, pertandingan sketsa kepenggunaan dan street soccer.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP