PUTRAJAYA, 10 OKTOBER 2019 – Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini menerima sebanyak 71 kenderaan baharu sebagai tambahan kepada 157 kenderaan sedia ada sebagai usaha memperkasa tugas-tugas penguatkuasaan di seluruh negara.
Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kepentingan pengguna, kenderaan-kenderaan ini bagi memudahkan urusan siasatan, pemantauan, penguatkuasaan serta pendakwaan selain tugas-tugas pentadbiran harian.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz hari ini melakukan penyerahan kepada Pengarah Penguatkuasa, Dato’ Haji Iskandar Halim Sulaiman dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Dewan Serbaguna kementerian ini, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau berharap agar kenderaan yang dibekalkan kepada setiap daerah ini dijaga dengan baik dan tidak disalahgunakan untuk tujuan yang bukan rasmi. Tindakan tegas boleh diambil ke atas mana-mana pegawai yang mengabaikan aspek kebersihan dan tidak menjaganya dengan baik dan cermat.
Pihaknya tidak teragak-agak menarik balik mana-mana kenderaan sekiranya didapati tidak dijaga dengan baik kerana setiap kenderaan membawa imej dan nama baik kementerian pada setiap masa.
“Kementerian prihatin dengan keperluan dan kekangan pegawai-pegawai penguat kuasa ketika menjalankan tugas seharian. Perkembangan semasa menuntut pegawai-pegawai penguat kuasa bertindak pantas dan cekap dalam memenuhi tuntutan pengguna,” ujarnya lagi.
Terdapat dua jenis kenderaan, Perodua Arus dan Toyota Hilux yang diagihkan kepada semua daerah mengikut kesesuaian muka bumi dan keperluan penugasan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP