Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

MENTERI KONGSI TIGA PESANAN BUAT WARGA KPDNHEP JOHOR

image

JOHOR BAHRU, 17 JULAI 2019 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkongsi tiga pesanan dengan warga kerja KPDNHEP Negeri Johor ketika mengadakan pertemuan dengan mereka di Dewan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini .

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri ini berkata, warga kerja kementerian perlu tahu tentang “dulang –dulang” yang sarat dengan amanah yang perlu dipikul semua.

Katanya, “dulang” yang pertama ialah pelaksanaan subsidi petroleum RON 95 bersasar yang dijangka bermula pada bila-bila masa apabila isyarat diumumkan oleh Kabinet. Segala persiapan telah diambil untuk melaksanakannya dan adalah menjadi tanggungjawab semua warga kerja bagi membantu agar program ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Sesi pertemuan dengan pengusaha stesen minyak telah diadakan sebagai persediaan awal dan semua pengusaha menyokong langkah yang diambil kerajaan. Mereka mahukan agar kerajaan tidak lagi membebankan mereka dengan pelbagai permintaan tambahan dalam pelaksanaannya nanti,” ujarnya.

Dulang” kedua, ialah usaha berterusan kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup. Penubuhan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) tahun lalu sentiasa mencari kaedah dan pendekatan yang efektif agar isu-isu yang menghimpit rakyat terutamanya golongan B40 dapat dileraikan.

Datuk Seri Saifuddin turut mengingatkan warga KPDNHEP supaya sentiasa mempunyai integriti dan disiplin yang tinggi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Katanya, penubuhan Pelan Tindakan Anti Rasuah Negara (NACP) menjadi pemangkin kepada usaha memerangi rasuah secara berterusan dan berkesan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita semua bagi memastikan kementerian ini bebas rasuah atau sebarang unsur rasuah kerana kita mahukan negara kita benar-benar bersih dari elemen-elemen yang boleh merosakkan masa depan dan pembangunan negara”, katanya.

Hadir sama, Ketua Setiausaha, Datuk Muez Abd Aziz, Pengarah KPDNHEP Johor, Pengarah Penguatkuasa, Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri dan Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Negeri.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP

ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive