Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PROGRAM FOOD BANK MALAYSIA @ PASAR TANI

image

PUTRAJAYA, 19 JULAI 2019 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini amat berbesar hati mengumumkan bahawa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai salah satu agensi kerajaan menjadi agensi pertama yang menyokong program Foodbank Malaysia dengan menjadikan pasar tani sebagai penyumbang lebihan makanan.

Program Foodbank Malaysia @ Pasar Tani ini akan dimulakan di pasar tani terpilih di mana negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menjadi projek perintis sebelum diluaskan ke seluruh negara. Antara kategori produk jualan yang akan disumbangkan adalah sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit.

Ketika bercakap kepada media, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 500 kilogram sumbangan makanan telah berjaya dikumpulkan hari ini daripada Pasar Tani Kekal Selayang dan My Farm Outlet Putrajaya dan akan diagihkan kepada dua rakan strategik utama Program Food Bank Malaysia iaitu Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen.

“Sumbangan ini seterusnya akan diberikan kepada kumpulan penerima yang telah dikenal pasti oleh kedua-kedua rakan strategik tersebut,” ujarnya.

Pengumpulan sumbangan makanan daripada Pasar Tani ini akan diteruskan ke Pasar Tani Setiawangsa, Taman Melawati dan Kelana Jaya pada 27 Julai 2019 dan Pasar Tani Shah Alam dan Bukit Angkasa pada 28 Julai 2019.

FAMA sedang menyusun jadual pengumpulan sumbangan makanan dan menjemput lebih banyak Pasar Tani untuk terlibat dengan Program Food Bank Malaysia @ Pasar Tani ini.

Program Food Bank Malaysia (PFBM) telah diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif KPDNHEP membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan bantuan bekalan makanan daripada lebihan makanan ( food surplus ).
Pelaksanaan PFBM adalah selari dengan matlamat United Nations Sustainable Development Goals (SDG) 12.3, iaitu mencapai pengurangan setengah daripada lebihan makanan (food waste) keseluruhan yang dikeluarkan oleh industri peruncitan dan pengguna pada tahun 2030.

Konsep program ini adalah dengan menyelamatkan lebihan makanan yang masih boleh dimakan melalui pengumpulan daripada penyumbang iaitu pasar raya, pengilang, pengusaha makanan, hotel dan syarikat korporat.

Makanan yang telah dikumpul kemudiannya akan diagihkan kepada kumpulan sasaran yang telah dikenal pasti daripada keluarga miskin dan kurang upaya, rumah-rumah kebajikan, pusat bantuan makanan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pelajar-pelajar Universiti yang kurang berkemampuan.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz, Timbalan – timbalan Ketua Setiausaha (KPDNHEP), Pengerusi FAMA dan Pemangku Ketua Pengarah FAMA

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP

ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive