DAMANSARA, 18 JULAI 2019 – Program Citarasa Malaysia (PCM) yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi peluang kepada usahawan-usahawan PKS tempatan untuk membabitkan dalam pelbagai aktiviti, memperkenalkan produk dan jenama serta mempromosi produk-produk mereka melalui jalinan kerjasam strategik di antara kementerian ini dengan pihak pasaraya besar.
Sebanyak 111 syarikat pembekal PKS tempatan telah berjaya memasarkan produk mereka di Tesco dan 86 darinya adalah syarikat PKS bumiputera. Sehingga 31 Disember 2018, sejumlah 841 jenama syarikat PKS berjaya disenaraikan di semua rangakaian hypermarket asing di negara ini dengan sebanyak 19,843 Stock Keeping Unit (SKU) PKS tempatan berjaya berada di pasaran hypermarket tersebut.
Menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pihaknya sentiasa menerokai peluang pasaran tempatan bagi membantu PKS tempatan memasarkan produk mereka. Usaha terbaharu ialah dengan menjalinkan kerjasama dengan Syarikat Penerbangan Air Asia bagi membolehkan produk-produk tempatan menebusi pasaran luar.
Beliau yakin bahawa produk-produk tempatan ini boleh berjaya di peringkat antarabangsa dengan inisiatif-inisiatif yang diambil kerajaan bagi membantu mereka. Produk-produk ini juga perlu memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak pasaraya besar atau pasaran luar dengan membabitkan pembungkusan, kualiti dan berdaya saing.
KPDNHEP telah mengadakan usahasama dengan SIRIM, MARDI dan pihak-pihak yang berkepentingan agar produk-produk PKS tempatan tidak tertinggal dalam arus persaingan ini.
Sebanyak 25 usaha mengambil bahagian di dalam program yang berlangsung selama empat hari bermula 18 hingga 21 Julai ini di Tesco Mutiara Damansara. 20 daripadanya berasaskan makanan (F&B), lima jenama produk kesihatan dan kecantikan serta barangan kelengkapan rumah dengan menyasarkan nilai jualan sebnayak 60,000.00 dalam tempoh ini.
Pada majlis ini, 10 jenama PKS tempatan dengan nilai jualan paling tinggi di seluruh outlet TESCO Malaysia di seluruh negara sepanjang tahun 2018 menerima anugerah masing-masing yang disampaikan Datuk Seri Saifuddin.