PUTRAJAYA, 2 JULAI 2019 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mengadakan sambutan ulangtahun pertama Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerajui kementerian ini.
Sambutan yang sederhana dan santai itu dipenuhi dengan perasmian galeri gambar-gambar aktiviti setahun yang melibatkan Datuk Seri Saifuddin sebelum disusuli sesi sembang santai.
Terdahulu, Datuk Seri Saifuddin diberi penghormatan memeriksa perbarisan yang terdiri daripada seramai 100 pegawai penguatkuasa di perkarangan Anjung Seri KPDNHEP sebelum meneruskan acara-acara yang disusun di Dewan Serbaguna kementerian ini.
Ketika menjawab soalan yang diplilih secara rawak dalam sesi sembang santai, Datuk Seri Saifuddin berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha untuk mewujudkan Bahagian Data Sains yang bertanggungjawab menguruskan semua data-data penting yang berkaitan dengan kepenggunaan untuk rujukan. Katanya, melalui perwujudan bahagian baharu secara pentadbiran ini akan memberi nilai tambah kepada KPDNHEP untuk merangka strategi dalam menangani isu-isu kepenggunaan.
Beliau juga akan memberi penekanan kepada aspek memerangi rasuah dan mahukan agar Pelan Anti Rasuah kementerian ini dijadikan model ikutan bagi pihak-pihak lain selain menjadi amalan menolak rasuah sebagai budaya dalam perkhidmatan di kementerian ini.
Hadir sama, isterinya, Datin Seri Norhayati Musa, Ketua Setiausaha , Datuk Muez Abd Aziz dan isteri, Datin Rafidah Latiff, kedua-dua timbalan Ketua Setiauasah, Pengarah-pengarah Bahagian, Negeri dan Ketua-ketua agensi.
Dalam ucapan aluannya, Ketua Setiausaha, Datuk Muez Abd Aziz berterima kasih di atas kepimpinan Datuk Seri Saifuddin yang berjaya meletakkan nama kementerian ini di puncak kegemilangan dan memperkenalkan pelbagai idea serta program yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
Kejayaan Skim Harga Maksium Musim Perayaan Hari raya Puasa, foodbank, Kempen Beli Barangan Malaysia dan banyak lagi menjadikan KPDNHEP sebagai sebuah kementerian yang benar-benar komited untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP