KOTA KINABALU, 27 JUN 2019 – Warga kerja Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diingatkan supaya sentiasa menjaga imej dan keterampilan diri sama ada di pejabat mahupun diluar bagi menjaga nama baik kementerian.
Pelanggaran disiplin seperti ponteng kerja, berpakaian tidak kemas atau melanggar etika berpakaian, malas dan sebagainya seolah-olah mencerminkan imej KPDNHEP dan sewajarnya semua warga kerja harus menjauhkan diri dari melakukannya.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz berkata, Jawatankuasa Tatatertib kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang dengan sengaja melanggar disiplin atau melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan nama baik KPDNHEP.
“Menjadi tanggungjawab semua untuk mematuhinya dan pelanggaran disiplin tidak harus berlaku sekiranya masing-masing tahu peranan dan tanggungjawab yang ditetapkan,” ujarnya di Majlis perjumpaan dengan warga kerja KPDNHEP Negeri Sabah dalam rangka lawatan kerjanya ke pejabat ini.
Katanya, kerja kuat pegawai-pegawai penguatkuasa di seluruh negara termasuk di negeri ini bagi memastikan kejayaan Skim Harga Maksium Musim Perayaan (SHMMP) baru-baru ini wajar diberikan pujian kerana kita berjaya mengawal harga barangan yang ditetapkan dengan berkesan.
Datuk Muez juga akan memastikan soal-soal kebajikan warga kerja di kementerian ini akan diutamakan termasuk penempatan pegawai-pegawai agar tidak terpisah dari keluarga masing-masing di samping melihat kepada keselesaan suasana pejabat dan logistik.
Terdahulu, Datuk Muez mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Pembangunan Negeri Sabah, Dato’ Samsuni Mohd Nor di pejabatnya di sini.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP