PUTRAJAYA, 20 JUN 2019 – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abd Aziz mengajak warga kerja kementerian ini agar melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing dengan ikhlas dan berkesan.
Katanya, perkhidmatan awam di negara ini adalah satu tugas yang mulia dan ia perlu diterjemahkan melalui perkhidmatan yang berkesan dan ikhlas. Rakyat berhak mendapat yang terbaik melalui sistem penyampaian yang diberikan.
“Hayati dan laksanakan tanggungjawab dan peranan dengan baik agar ia memberi kesan yang baik untuk rakyat,” ujarnya ketika merasmikan sambutan Hari Akrab dan Simposium Akrab KPDNHEP di Dewan Serbaguna kementerian ini pagi tadi.
Datuk Muez memuji inisiatif yang diambil oleh Akrab KPDNHEP kerana mengadakan majlis ini bagi membolehkan setiap ahli mendapat pendedahan mengenai peranan mereka untuk membantu rakan-rakan sekerja mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan.
“Saya mahukan agar wakil-wakil Akrab di negeri-negeri dapat mengadakan program –program yang boleh memberi manfaat kepada warga kerja kementerian ini supaya isu-isu berkaitan pelanggaran disiplin dan sebagainya dapat diatasi di peringkat awal. Pengarah-pengarah Negeri atau bahagian boleh melibatkan ahli-ahli Akrab bagi mengesan mereka yang memerlukan sokongan atau bantuan supaya mereka dapat berkhidmat dengan baik,” tambahnya.
Beliau juga mahukan budaya mengucapkan terima kasih atau pujian sebagai menghargai sumbangan atau pertolongan orang lain dijadikan satu budaya di kementerian ini bagi mewujudkan suasana mesra dan semangat bantu membantu.
“Pujian atau ucapan terima kasih mudah diucapkan tetapi tidak ramai yang mampu melakukannya,” katanya.
Sesi bual bicara dengan tema “Mentalkah Aku” menjadi tumpuan peserta dengan kupasan dan hujah-hujah yang menarik dari ahli-ahli panelnya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP