PUTRAJAYA, 19 JUN 2019 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpuas hati dengan pelaksanaan Skim harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang berakhir tengah hari ini dengan menyifatkannya sebagai satu kejayaan yang cemerlang.
Pelaksanaannya bermula 21 Mei 2019 lalu dan berakhir hari ini menunjukkan peniaga telah memahami peranan dan tangungjawab mereka selain peranan pengguna dan pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNHEP dalam menjalankan tugas dengan berkesan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media khasnya bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sallahuddien Ayob hari ini turut dihadiri Timbalan Menteri KPDNHEP, Tuan Chong Chien Jen dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz.
Datuk Seri Saifuddin berkata, kejayaan ini dicapai dengan adanya kerjasama serta sokongan Kementerian Pertanian bagi memastikan bekalan makanan yang disenaraikan dalam SHMMP ini mencukupi dengan permintaan rakyat. Ia juga dicapai dengan penguatkuasaan yang berterusan dari pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNHEP yang dapat melaksanakan tugas dengan baik.
Bagi SHMMP Hari Raya Puasa, Cuma 362 kesalahan dikesan daripada 60,878 premis yang dipantau.13 melibatkan kes jualan melebihi harga maksimum, 307 kes kerana tidak mempamerkan tanda harga khas manakala 42 kes tidak mempamerkan tanda harga.
Daripada sebanyak 4775 premis yang dipantau semasa SHMMP Pesta Kaamatan, Cuma lima kesalahan dikesan iaitu gagal mempamerkan tanda harga khas berwana merah jambu. Bagi SHMMP Hari Gawai pula, hanya dua kesalahan sahaja dikesan daripada 4515 premis yang dipantau.Masing-masing kerana kesalahan gagal mempamerkan tanda harga khas dan tanda harga biasa.
Melalui data yang dikutip, harga purata banyak barangan keperluan seperti ayam bersih, daging lembu impot, telur ayam gred B, C dan cili kering telah menurun pada pelaksanaan SHMMP kali ini berbanding tahun lalu.
Beliau yakin bahawa bekalan yang mencukupi dari permintaan tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan ini walaupun pelaksanaan SHMMP ini berakhir hari ini.
Beliau juga yakin bahawa rakyat dan peniaga boleh menerima pelanjutan tempoh pelaksanaan SHMMP ini walaupun ia pertama kali dilaksanakan bagi musim perayaan ini.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP