GUA MUSANG, 14 JUN 2019 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut menyalurkan bantuan makanan dan minuman kepada penduduk-penduduk Perkampungan Orang Asli Kuala Koh dekat sini hari ini.
Barangan makanan serta minuman seperti beras, tepung, gula, minyak masak dan air minuman yang dianggarkan seberat 10 metrik tan disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail ketika mengadakan tinjauan ke perkampungan tersebut bagi melihat sendiri fenomena yang melanda perkampungan tersebut baru-baru ini. Hadir sama, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha, Datuk Muez Abd Aziz dan Pengarah KPDNHEP Negeri Kelantan.
Kampung Kuala Koh yang terletak kira-kira 75 kilometer dari Gua Musang menjadi tumpuan apabila seorang demi seorang penduduk setempat meninggal dunia yang dikatakan terminum air sungai yang tercemar. Kejadian menggemparkan itu menyebabkan penduduk mula berpindah ke kawasan lain bagi mengelakkan menjadi mangsa fenomena itu.
Terdahulu, Datuk Muez turut menyertai konvoi 20 kenderaan pacuan empat roda yang membawa makanan serta minuman ke Perkampungan Orang Asli Kampong Kuala Koh, Gua Musang selepas membuat flag off di hadapan Pejabat KPDNHEP di Kota Bahru.
Turut serta dalam konvoi kenderaan dari Food Aid Foundation yang membawa bersama barangan berupa makanan, roti dan minuman untuk diagihkan kepada penduduk yang ditimpa musibah itu.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP