PUTRAJAYA, 27 MEI 2019 – Pewujudan Bilik Pendengaran Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) di Aras 5, Bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini adalah selaras dengan fungsi dan peranan TRP yang mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk mengkaji semula apa-apa keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia di bawah seksyen 35, 39 dan 40 Akta Persaingan 2010 [Akta 712].
Pewujudan Bilik Pendengaran khusus ini juga adalah perlu kerana bilangan penyiasatan kes-kes persaingan oleh pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) adalah berterusan dan bertambah dari semasa ke semasa. Oleh itu, adalah dijangka kes rayuan yang difailkan di TRP juga akan turut meningkat.
Ini dapat dilihat berpandukan kepada tindakan yang telah diambil oleh MyCC terhadap Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahlinya yang melibatkan jumlah penalti yang besar iaitu RM213.45 juta dan juga dalam kes ‘bid rigging’ yang melibatkan lapan syarikat yang berpakat secara sulit bagi mendapatkan kontrak dalam perolehan awam.
Majlis Perasmian Bilik Pendengaran TRP ini dirasmikan oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz dan Presiden Tribunal Rayuan Persaingan, Dato’ Abu Bakar Jais
Dengan adanya Bilik Pendengaran TRP yang khusus ini banyak manfaat yang akan diperoleh bukan sahaja kepada TRP sendiri dari aspek penjimatan kos sewaan tempat pendengaran dan keselesaan kepada Panel Pendengaran Rayuan, tetapi juga kepada pihak-pihak dalam kes rayuan tersebut.
TRP adalah suatu badan kehakiman bebas yang ditubuhkan di bawah seksyen 44 Akta 712 dan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2012. TRP tidak mempunyai Bilik Pendengaran khusus sejak ia ditubuhkan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP