KULIM, 17 MEI 2019 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menyampaikan bantuan kepada 50 pesara polis, 30 pesara tentera dan asnaf bertempat di Dewan Kulim Inn di sini.
Selain sumbangan berupa wang dan barangan, Datuk Seri Saifuddin turut menyerahkan sumbangan kerusi roda yang ke-100 untuk kegunaan masyarakat di kawasan ini.
Bagi membantu rakyat, beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim – Bandar Baharu turut melancarkan khidmat guaman percuma untuk masyarakat di kawasan Parlimen itu.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Saifuddin mengumumkan lebih banyak inisiatif setempat akan diadakan dari semasa ke semasa bagi membantu masyarakat setempat mengikut keperluan.
Beliau bersyukur kerana dapat membantu sebahagian masyarakat di sini melalui sumbangan yang dapat meringankan kos sara hidup dan persiapan menjelang Aidilfitri nanti.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kulim, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz, Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Kedah, Ramli Leen, Pengarah KPDNHEP Kedah dan Pulau Pinang.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP