KUALA LUMPUR, 17 DISEMBER 2020 – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini telah mengadakan Majlis Pelupusan Perdana bertempat di Kompleks Sentral Segambut, Kuala Lumpur.
Pelbagai barangan rampasan bernilai RM 2.4 juta telah dilupuskan merangkumi pakaian seperti baju dan seluar sukan, kasut, selipar, jam tangan, beg tangan, aksesori telefon bimbit, alat ganti kenderaan, minyak wangi, minuman keras, cakera optik dan set komputer.
Kesemua barangan tersebut melibatkan 110 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-piramid dan Akta Hak Cipta 1987.
Menurut Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam Hj Ahmad, jumlah pelupusan bagi tahun 2020 adalah sebanyak 327 kes bernilai RM 6.3 juta. Kes tertinggi dalam pelupusan kali ini adalah melibatkan barangan tiruan iaitu sebanyak 87 kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai rampasan sebanyak RM1.3 juta.
Katanya, pelaksanaan pelupusan ini bertujuan membasmi aktiviti penjualan dan penggunaan barangan tiruan dan KPDNHEP sentiasa komited dalam membanteras masalah penjualan barang tiruan dan salah guna harta intelek.
Sebanyak 45 kes telah dihasilkan dengan nilai sitaan RM7.15 juta melibatkan 157,853 unit barangan tiruan. Kes rampasan yang terbesar dicatatkan adalah sebanyak 55,400 unit barangan tiruan dengan nilai RM2.3 juta.
Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam turut mengingatkan pemilik premis supaya sentiasa berwaspada dengan kegiatan penyewa-penyewa mereka kerana mereka boleh di dakwa dengan pelbagai kesalahan jika didapati premis milik mereka digunakan untuk kegiatan yang salah oleh penyewa-penyewa mereka.
Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Shamsuddin dan Pengarah Penguat kuasa, Haji Azman Adam.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP