Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PROGRAM JUALAN KEMBALI KE SEKOLAH DATANG LAGI

PUTRAJAYA, 23 DISEMBER 2020 – Selaras penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sesetengah tempat pada 7 Disember 2020, Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysai (KBBM)  diperluaskan kepada para pengguna dan sempena dengan penggal persekolahan tahun 2021 yang bakal tiba tidak lama lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menganjurkan Program Jualan Kembali Ke Sekolah.

Program Jualan Kembali ke Sekolah ini telah diadakan sejak tahun 2011 dengan kerjasama sektor peruncitan seperti pasar raya besar, pasaraya dan syarikat pengeluar kelengkapan persekolahan. Dari tahun ke tahun, setelah kempen ini mendapat sambutan yang hebat daripada masyarakat dan pengguna, sektor peruncitan telah dengan sendirinya memasukkan promosi Jualan Kembali Ke Sekolah ke dalam kalendar promosi mereka pada setiap tahun.

Program tahunan ini dilancarkan Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi di lobi Anjung Seri KPDNHEP hari ini. Antara lain program ini diadakan untuk menggalakkan perbelanjaan domestik dan membantu para pengguna dalam mendapatkan kelengkapan persekolahan.

Program ini juga untuk membantu pengguna khususnya para ibu bapa untuk mendapatkan keperluan persekolahan anak-anak pada harga promosi dan berpatutan. Melalui kempen Kembali Ke Sekolah atau Back To School ini, semua pasaraya dan syarikat-syarikat pengeluar yang menjual kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, buku dan alat tulis diseru untuk menawarkan potongan harga istimewa melalui permohonan jualan murah atau kempen penurunan harga.

KPDNHEP turut memudahkan proses permohonan jualan murah ini kepada peniaga. Peniaga hanya perlu mengemukakan Notis Jualan Murah secara dalam talian melalui aplikasi My Sales Tracker, dan dalam tempoh 24 jam daripada permohonan dikemukakan, peniaga sudah boleh mengadakan jualan murah.

“Syarikat yang terlibat pada hari ini adalah syarikat-syarikat besar seperti Aeon Big, Mydin, The Store, Canggih dan Pusat Pakaian HariHari.  Kerjasama sebegini akan dapat diteruskan di cawangan syarikat di seluruh negara bagi faedah pengguna terutamanya bagi golongan ibu bapa yang terkesan secara langsung atau tidak langsung akibat wabak Covid-19, dan dalam masa yang sama perlu menyiapkan keperluan dan peralatan persekolahan anak-anak mereka,” tambahnya.

Pada majlis ini, beliau memperkenalkan inisiatif terbaharu daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam membantu golongan peniaga yang terjejas berikutan akibat pandemik Covid-19 di Malaysia.

“Sebagai sebuah kementerian yang prihatin, fokus kementerian terarah kepada usaha membantu dua kumpulan sasar iaitu pengguna dan golongan peniaga. Justeru, kementerian melalui SSM memperkenalkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) berkuat kuasa mulai 23 Disember 2020, bermula hari ini, SSM memperluaskan tawaran khusus di bawah Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) kepada golongan belia dan ibu tunggal dalam kumpulan berpendapatan B40 untuk mendaftarkan perniagaan secara percuma di SSM.

Kategori yang layak untuk memohon SPPP ialah  kategori belia berpendapatan B40, kategori ibu tunggal berpendapatan B40 dan kategori pelajar. Kementerian ini menyeru kepada golongan yang layak untuk memanfaatkan skim ini supaya dapat mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui Portal Ez-Biz Online di pautan ezbiz.ssm.com.my.  

Hadir sama pada majlis ini, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha, Ketua Pegawai Eksekutif SSM dan Pegawai-pegawai kanan KPDNHEP.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive