KUALA LUMPUR, 23 NOVEMBER 2021 – Telah berlangsung Majlis Perasmian Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN) Tahun 2020 oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. APDN 2020 julung-julung kali diadakan sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih Kerajaan atas peranan penting yang dijalankan oleh pemain-pemain industri sebagai barisan hadapan ekonomi domestik negara.
Menurut YB Menteri PDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi , APDN 2020 ini melibatkan sebanyak 25 kategori anugerah meliputi Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS), Kedai Harga Patut, Francais, Jualan Langsung, Peruncitan, E-Dagang, Media dan Stesen Minyak. Dengan pelaksanaan APDN 2020, ianya diharap dapat menjadi pemangkin serta motivasi kepada barisan hadapan ekonomi agar bekerja dengan lebih gigih dan penuh kesungguhan pada tahun yang mendatang, seterusnya menggerakkan sektor peruncitan untuk kembali memberi sumbangan signifikan kepada pencapaian sektor perkhidmatan negara.
APDN 2020 ini juga memberikan pengiktirafan kepada barisan hadapan ekonomi bagi setiap usaha dan inovasi yang dilaksanakan demi kelangsungan kepada perniagaan sedia ada. Pada masa yang sama, APDN 2020 ini dapat meningkatkan persaingan sihat dalam sektor peruncitan, PKS dan kepenggunaan. Ianya termasuk membina rangkaian hubungan baik dan memperluas kerjasama di antara Kementerian dan pemain-pemain industri yang berkaitan.
Pada majlis APDN 2020 ini, YAB Perdana Menteri telah menyampaikan 5 Anugerah Perdana seperti berikut:
Bil | Kategori | Anugerah | Pemenang |
1 | PKS | SKU/Produk Terbaik | Fatihah Frozen Food Sdn Bhd |
2 | Peruncitan | Penyertaan Terbaik Kategori KBBM | Mydin Mohamed Holdings Berhad |
3 | E-Dagang | Pengendali Pasar Dalam Talian Terbaik | Ecart Services Malaysia Sdn Bhd (Lazada Malaysia) |
4 | Francais | Francais Terbaik (Dalam Negara) | Global Art & Creative Sdn Bhd |
5 | Stesen Minyak | Kedai Serbaneka Stesen Minyak Terbaik | Shell Malaysia Trading Sdn Bhd |
Manakala, bagi Anugerah Khas Media dimenangi oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi kategori media elektronik paling aktif dan Grup Majalah Karangkraf Sdn Bhd (Sinar Harian) untuk kategori media cetak dan dalam talian paling aktif mempromosikan aktiviti dan berita perdagangan dalam negeri.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP