IPOH, 2 OKTOBER 2021 - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah mengadakan Lawatan Kerja ke Negeri Perak bagi meninjau pelaksanaan Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Pusat Beli Belah AEON Midtown Falim dan Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan (DC) Food Bank Malaysia bagi Zon Utara di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng .
Lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) RIVAC adalah bagi meninjau program vaksinasi barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan bermula 7 September 2021 dan akan berakhir pada 5 Oktober 2021. Sehingga 28 September 2021, dibawah Program RiVAC seramai 55,989 orang pekerja barisan hadapan sektor peruncitan telah menerima vaksin dos pertama manakala seramai 48,245 orang telah lengkap menerima dos kedua melalui sepuluh (10) PPVIN RiVAC diseluruh negara.
YB Menteri KPDNHEP turut berkesempatan meninjau Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank di RTC Gopeng dibawah Program Food Bank Malaysia (PFBM) yang diterajui oleh KPDNHEP sebagai salah satu inisiatif peduli rakyat dalam membantu golongan kurang berkemampuan meringankan kos sara hidup mereka disamping dapat mengurangkan pembaziran makan diperingkat industri peruncitan.
Menurutnya, Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank Malaysia di RTC Gopeng, Perak ini akan menjadi hub pengumpulan dan pengagihan bantuan makanan bagi Zon Utara di Semenanjung Malaysia. KPDNHEP dengan kerjasama Rakan Strategik Utama Program Food Bank juga sedang merancang untuk membuka tiga (3) Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank Malaysia di Johor, Melaka dan Kelantan selain Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank sedia ada di Kajang, Selangor.
Pihak KPDNHEP juga menyambut baik kerjasama yang telah diberikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Rakan Strategik Utama lain yang telah bersama-sama membantu dalam memastikan Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank ini dapat beroperasi dengan lancar.
Akhir sekali, YB Menteri merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong inisiatif ini. Besarlah harapan pihak Kementerian agar lebih ramai lagi pihak yang akan tampil untuk menyokong pelaksanaan Program Food Bank Malaysia dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.