Putrajaya, 17 September 2021- Berikutan isu kenaikan harga ayam standard, YB Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah memberi jawapan kepada persoalan berhubung isu ini serta menjelaskan pendekatan yang diambil oleh Kementerian.
YB Menteri memaklumkan antara pendekatan yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian ialah mengadakan sesi libat urus bersama penternak dan peladang ayam. Selain itu, pemeriksaan menyeluruh Pegawai Penguatkuasa di semua peringkat rantaian bekalan ayam. Pemeriksaan dan pemantauan ini adalah tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).
Sekiranya situasi pergerakan harga menunjukkan kenaikan yang tidak terkawal, tindakan pengeluaran Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 boleh dilaksanakan kepada pengeluar dan pemborong ayam.
Kementerian juga melaksanakan mekanisme pengeluaran Surat Pemberitahuan kepada setiap rantaian peniaga ayam. Ini adalah untuk membuat semakan harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin keuntungan yang lebih munasabah. Ianya juga memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga dari mana-mana peringkat rantaian pengedaran secara sewenang-wenangnya. Pasukan Petugas Khas juga diwujudkan bagi menangani isu ini secara terus di kawasan yang terlibat dengan aduan kenaikan harga.
Ketika diajukan soalan mengenai perlaksanaan kawalan harga, YB Menteri memaklumkan buat masa ini KPDNHEP masih tidak bercadang untuk melaksanakan kawalan harga sepanjang masa kecuali yang telah sedia dilaksanakan ketika musim perayaan iaitu Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
Walau bagaimanapun, tidak teragak-agak untuk melaksanakan penguatkuasan yang lebih deterent dengan melakukan kawalan harga sepanjang masa, jika harga di setiap pengedaran ayam semakin meningkat dan tidak munasabah.
Pihak Kementerian kini sedang menfokuskan kepada mekanisme mengadakan sesi libat urus bersama pihak industri dari setiap peringkat supaya tidak membuat sebarang tekanan harga yang memberi kesan kepada harga peruncit. Mekanisme pengeluaran Surat Pemberitahuan pula digunakan sebagai soft-approach yang bersifat seimbang serta mengambil kira situasi yang dihadapi oleh pihak industry susulan kenaikan makanan ternakan.
Menurutnya lagi, isu kos tinggi bagi makanan ternakan juga mempengaruhi harga ayam di peringkat pengguna. Untuk makluman, industri dan bekalan ayam serta makanan ternakan dikawal selia oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), dan pihak Kementerian sedia memainkan peranan berkaitan polisi harga ayam pengguna di pasaran.
“Sebagai langkah yang proaktif, saya telah mengadakan perbincangan bersama MAFI serta Kementerian Kewangan bagi mencari satu penyelesaian jangka panjang yang munasabah serta boleh dilaksanakan oleh Kerajaan bagi menstabilkan harga ayam” ujarnya.
Mengenai persoalan tentang penglibatan mana mana kartel disebalik kenaikan harga ayam ini, YB Menteri menjelaskan bahawa tiada perlakuan kartel dikesan setakat ini. Namun, KPDNHEP bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia akan menyiasat di bawah perundangan yang dikuatkuasakan.
KPDNHEP memahami kerugian yang dialami oleh pihak peniaga ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan namun, Kementerian ingin menasihatkan agar peniaga di setiap rantaian bekalan ayam untuk tidak mengambil tindakan drastik dengan menaikkan harga bagi menampung kerugian mereka. Akhir sekali, YB Menteri mengingatkan orang tengah untuk tidak mengambil kesempatan yang turut menekan peniaga dan pengguna.