PUTRAJAYA, 28 September 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik pembentangan Dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob di Parlimen pada 27hb September, 2021.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KPDNHEP berkata KPDNHEP yakin dengan pendekatan whole-of-nation yang diambil Kerajaan bagi RMK-12 akan merancakkan pertumbuhan ekonomi pasca COVID-19 serta memastikan pengagihan kemakmuran negara secara adil dan saksama tanpa mengorbankan kelestarian alam sekitar. KPDNHEP juga melihat RMK-12 ini sebagai fasa penting dalam menjayakan dasar2 semasa Kerajaan khususnya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Sehubungan itu, KPDNHEP komited untuk bersama Kerajaan dalam merancakkan lagi sektor perkhidmatan berkaitan perdagangan pengedaran. Sektor pengedaran perdagangan adalah antara penyumbang pelaburan utama kepada sektor perkhidmatan negara dan juga KDNK negara. Pemodenan semua sub-sektor ini akan dilaksanakan melalui inisiatif pendigitalan di bawah program MyDigital termasuklah menambah-baik aplikasi ez-Aduan, Price Catcher, My Sales Tracker, MyHarga, Spacedeal, Chatbot Sara, Enforcement Command Centre dan ReDI.
Untuk menyokong memperkembangkan ekonomi gig dalam RMK-12, KPDNHEP bersama MYCC, sebuah agensi di bawah Kementerian, telah lebih dulu mengadakan libat-urus yang berterusan dengan pemain utama industri supaya satu ekosistem yang kondusif dan iklim persaingan yang sihat dapat diwujudkan antara pengguna, vendor, operator dan pekerja-pekerja penghantaran.
Selain itu, dalam aspek dana harta intelek, KPDNHEP akan mengarahkan MYIPO, sebuah agensi di bawah Kementerian untuk memperhebatkan usaha membantu lebih ramai usahawan di kalangan belia untuk memfailkan harta intelek mereka. Dalam masa yang sama, MYIPO juga akan membantu adik Maryam Muzamir mempatenkan hasil innovasi makanan haiwannya yang telah memenangi tiga (3) pingat emas Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Ke6 (iCAN) di Toronto, Kanada baru-baru ini.
Tambahnya lagi, Kementerian menyambut baik langkah Kerajaan dalam RMK-12 untuk terus konsisten menangani isu kos sara hidup rakyat melalui aspek kesamarataan bagi membolehkan setiap golongan menikmati taraf hidup yang wajar, meningkatkan kuasa beli rakyat dan melonjakkan pendapatan golongan rentan.KPDNHEP, melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) akan sentiasa menggalakkan pembangunan iniasiatif dan projek berorientasikan rakyat dan mudah serta cepat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.
Pihak Kementerian juga sudah memulakan kajian rasionalisasi subsidi untuk mengenalpasti modul pemberian subsidi yang berimpak dan sampai kepada golongan sasaran. Penguat Kuasa KPDNHEP pula beserta Pegawai Pemantau Harga akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan barang keperluan sentiasa mencukupi dan harga dalam terkawal di seluruh rantaian bekalan.
Rakyat Malaysia juga diingatkan untuk menjadi pengguna yang berdaya-upaya serta peka terhadap hak mereka dan peniaga yang beretika dalam sebuah ekosistem perdagangan dalam negeri yang berdaya-saing dan berdaya-maju berasaskan pasaran bebas. Program advokasi dan promosi akan terus dilaksanakan di semua peringkat meliputi sekolah, universiti, persatuan pengguna dan masyarakat.
Akhir sekali, KPDNHEP merakamkan komitmen untuk memastikan semua dasar dan strategi berkaitan Kementerian dalam RMK-12 dicapai untuk lima (5) tahun akan datang. Perkembangan dan status setiap insiatif akan dipantau sebaiknya supaya matlamat “Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif dan Mampan” tercapai.