PUTRAJAYA, 25 Ogos 2021 – Berikutan laporan akhbar dan media sosial berhubung kenaikan harga runcit telur ayam di pasaran berbanding bulan sebelum, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menjalankan penguatkuasaan OPS PASAR (Telur Ayam) dan OPS RANTAI (Makanan Ternakan Ayam).
Untuk makluman, penguatkuasaan OPS PASAR telah dilaksanakan sejak 2hb Ogos 2021 dan OPS RANTAI sejak 11hb Ogos 2021 yang lalu. Selain itu, Pegawai Pemantau Harga (PPH) menjalankan pemantauan harga setiap hari bagi memastikan pergerakan harga runcit ayam dan telur ayam tidak menekan pengguna dan memastikan pasaran sentiasa kompetatif.
OPS PASAR ini memberi fokus kepada tiga (3) sasaran utama telur ayam iaitu gred A, gred B dan gred C. Pemeriksaan ini juga mengambilkira semua rantaian. Sepanjang penguatkuasaan, sebanyak 136 premis telah diperiksa yang melibatkan 41 premis Pengeluar telur dan 95 premis Pemborong. Sejumlah 136 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 telah dikeluarkan kepada pengeluar dan pemborong.
Hasil pemantauan juga mendapati harga purata runcit telur ayam berada pada kedudukan yang stabil iaitu harga semasa pada 23 Ogos 2021 bagi gred A adalah pada harga RM0.44 (sebiji), gred B RM 0.40 (sebiji) dan gred C RM0.36 (sebiji). Dimaklumkan juga, purata harga runcit bagi ayam bersih standard adalah stabil sejak 22 Ogos 2021 sehingga 23 Ogos 2021 iaitu pada harga RM7.51 sekilogram.
Hasil pemantauan yang diperolehi daripada peringkat pengeluar dan pemborong pula menunjukkan harga jualan telur ayam gred A adalah pada harga RM0.37-RM0.38 sebiji, telur ayam gred B pada harga RM0.34-RM0.38 dan telur ayam gred C pada harga RM0.33-RM0.37 dengan masing-masing margin untung antara RM0.01 hingga RM0.03 setiap biji. Pemantauan juga mendapati ada juga peniaga yang masih menjual dengan harga yang lebih rendah daripada harga kos sehingga Julai 2021.
Susulan daripada situasi kenaikan harga import makanan ternakan ayam, KPDNHEP mempergiatkan pemeriksaan di peringkat pengeluar, pengilang dan pengimport makanan ternakan ayam di bawah OPS RANTAI 7.0 (Makanan Ternakan Ayam).
Pendekatan yang telah diambil KPDNHEP di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bertujuan untuk mendapatkan maklumat harga di samping memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya. Sehingga kini, KPDNHEP telah menghasilkan 6 kes melibatkan telur ayam yang telah didakwa di mahkamah di bawah perundangan Antipencatutan.
KPDNHEP telah melaksanakan pemantauan ke atas 50 syarikat pengeluar telur ayam dan mendapati kuantiti pengeluaran dan keberadaan telur ayam di pasaran adalah stabil. Pengguna juga disarankan menggunakan Aplikasi Price Catcher untuk mendapatkan maklumat serta membuat perbandingan harga barang keperluan, termasuk telur ayam dan ayam yang dijual di premis berhampiran tempat tinggal mereka bagi tujuan pembelian yang terancang.